MIAMI - Kapten Argentina, Lionel Messi, meluahkan penghargaan kepada penjaga gol Cape Verde, Vozinha, selepas persembahan cemerlang pemain berusia 40 tahun itu dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Hard Rock, Miami.
Walaupun Cape Verde tewas 3-2 kepada juara bertahan itu selepas perlawanan yang berlarutan sehingga masa tambahan, Vozinha menjadi watak utama apabila beberapa kali menggagalkan percubaan berbahaya Argentina, sekali gus memastikan pasukannya terus memberi saingan sengit.
Sejurus wisel penamat dibunyikan, Messi dilihat menghampiri penjaga gol veteran itu untuk mengucapkan tahniah atas prestasi dipamerkannya.
Menurut Vozinha, beliau terharu menerima pujian daripada pemain yang dianggap antara legenda bola sepak dunia.
"Messi datang kepada saya dan sebelum sempat saya berkata apa-apa, dia memeluk saya serta berkata saya adalah penjaga gol yang hebat dan rakyat negara saya pasti berbangga dengan saya.
"Saya mengucapkan terima kasih kepadanya dan meminta jersi perlawanan. Dia hanya tersenyum dan memberitahu akan menyerahkannya di laluan menuju bilik persalinan. Itu satu kenangan yang akan saya hargai sepanjang hayat," katanya kepada media.
Sepanjang kempen Piala Dunia kali ini, Vozinha muncul antara penjaga gol paling menyerlah dengan mencatatkan keseluruhan 18 penyelamatan, termasuk aksi mantap ketika Cape Verde mengikat Sepanyol tanpa jaringan serta lapan penyelamatan ketika menentang Argentina.
Walaupun langkah Cape Verde terhenti di pusingan 32 terbaik, Vozinha tetap berbangga dengan pencapaian pasukannya yang berjaya mencipta sejarah mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama.
"Kami memberikan segala-galanya di atas padang. Sudah tentu keputusan ini mengecewakan, tetapi kami perlu berbangga dengan perjalanan yang dilalui. Pasukan ini mempunyai kualiti dan semangat juang yang tinggi. Begitulah bola sepak," katanya.
Cape Verde mencuri perhatian sepanjang kejohanan apabila mengikat Sepanyol dan Uruguay pada peringkat awal sebelum memaksa Argentina bekerja keras sehingga masa tambahan.
Kemaraan pasukan yang dianggap bukan pilihan itu ke pusingan kalah mati turut disifatkan sebagai antara kisah paling mencuri tumpuan sepanjang Piala Dunia 2026.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back