MIAMI (Amerika Syarikat), 4 Julai - Ketua jurulatih Cape Verde, Bubista, tetap berbangga dengan prestasi anak buahnya walaupun tewas 2-3 kepada juara bertahan, Argentina, selepas masa tambahan dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia, pada Jumaat.
Pasukan Afrika itu bangkit dua kali untuk menyamakan kedudukan, masing-masing dalam masa sebenar dan masa tambahan, sebelum jaringan sendiri pada minit ke-111 menamatkan kemaraan bersejarah pasukan yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia itu.
"Pertama sekali, saya amat bangga dengan para pemain dan apa yang mereka lakukan. Mereka bermain dengan penuh maruah dan keberanian. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Argentina kerana mereka membuktikan mengapa mereka ialah juara dunia," kata Bubista pada sidang media selepas perlawanan.
Beliau berkata Cape Verde menyedari cabaran besar untuk berdepan Argentina, namun percaya pasukannya telah memberikan aksi terbaik sambil mengekalkan identiti permainan sendiri.
"Tidak banyak pasukan mampu menjaringkan dua gol ke atas Argentina dan mengheret perlawanan ke masa tambahan. Kebangkitan kami untuk menyamakan kedudukan sebanyak dua kali membuktikan semangat juang dan karakter pasukan ini," katanya.
Dengan jumlah penduduk lebih 500,000 orang, Cape Verde muncul sebagai negara terkecil yang pernah mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia.
Pasukan itu layak ke pusingan 32 terbaik selepas mengikat juara Eropah, Sepanyol, tanpa jaringan dalam perlawanan pembukaan sebelum seri dengan Uruguay dan Arab Saudi pada aksi peringkat kumpulan.
Bubista berkata pencapaian itu akan terpahat dalam sejarah negaranya dan membuktikan bahawa negara kecil juga mampu mencipta kejayaan di pentas dunia.
"Bagi negara seperti kami, layak ke Piala Dunia sahaja sudah sukar. Namun, kami membuktikan bahawa dengan organisasi yang baik, semangat kental dan fokus tinggi, kejayaan besar boleh dicapai," katanya.
Beliau menyifatkan kejohanan itu sebagai langkah penting dalam pembangunan bola sepak Cape Verde, namun menegaskan pasukannya masih belum boleh dianggap sebagai antara pasukan terbaik dunia.
"Kami masih melalui proses pembelajaran sebagai pasukan yang pertama kali beraksi di kejohanan ini. Masih banyak yang perlu dilakukan sebelum mampu bersaing secara konsisten dengan pasukan terbaik dunia," katanya.
Bubista turut memuji Argentina yang disifatkannya sebagai antara calon utama untuk muncul juara berdasarkan sejarah, corak permainan dan kualiti pemain yang dimiliki.
Beliau berkata sokongan padu penyokong Argentina sepanjang perlawanan turut mencerminkan tradisi dan kekuatan bola sepak negara itu.
Mengulas suasana di bilik persalinan selepas perlawanan, Bubista berkata para pemain berasa kecewa kerana gagal meneruskan kemaraan walaupun hampir mencipta kejutan.
"Perasaan kami sememangnya sedih kerana tersingkir, tetapi para pemain wajar berbangga dengan pencapaian mereka. Mereka saling berpelukan dan menangis, dan itu menunjukkan pasukan ini mempunyai semangat yang tinggi," katanya.
Sumber: BERNAMA-Xinhua
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back