LOS ANGELES - Brazil memulakan misi memburu gelaran Piala Dunia keenam apabila berdepan Jepun dalam aksi pusingan 32 terbaik awal pagi esok, manakala Jerman turut memulakan kempen kalah mati dengan menentang Paraguay.
Dalam satu lagi perlawanan yang dijangka mencuri tumpuan, Maghribi bakal membuat perhitungan dengan Belanda dalam aksi yang dilihat paling seimbang pada pusingan ini.
Selepas 24 tahun tanpa kejuaraan dunia, skuad bimbingan Carlo Ancelotti bertekad mengembalikan kegemilangan Brazil di pentas antarabangsa.
Brazil mara ke saingan kalah mati selaku juara Kumpulan F, didorong prestasi cemerlang Vinicius Jr yang sudah meledak empat gol sepanjang kejohanan.
Bagaimanapun, Ancelotti mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang rendah kemampuan Jepun, yang pernah mengejutkan Brazil dengan kemenangan 3-2 dalam aksi persahabatan pada Oktober tahun lalu.
"Kami perlu bermain dengan bijak dan penuh semangat. Dalam aksi kalah mati, pemain perlu bersedia menghadapi apa juga kemungkinan, termasuk masa tambahan atau penentuan penalti," katanya.
Kapten Brazil, Marquinhos pula menyifatkan kekalahan kepada Jepun sebelum ini sebagai pengajaran penting menjelang pertemuan kali ini.
Pemenang aksi di Houston itu akan mara ke pusingan 16 terbaik untuk bertemu pemenang perlawanan antara Ivory Coast dan Norway di New Jersey, Ahad ini.
Sementara itu, Jerman bakal melayan cabaran Paraguay di Stadium Gillette, Boston dalam usaha mengulangi kejayaan mereka di pentas dunia.
Walaupun hanya menghuni ranking ke-10 dunia dan tidak diletakkan sebagai antara calon utama juara, pengendali Julian Nagelsmann menegaskan sasaran Die Mannschaft kekal sama.
"Apabila mewakili Jerman, matlamat kami sentiasa untuk memenangi setiap perlawanan. Itu fokus kami," katanya.
Di Monterrey, Mexico, pertemuan antara Belanda dan Maghribi dijangka berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan memiliki barisan pemain berkualiti yang beraksi di liga-liga utama Eropah.
Maghribi yang kini menduduki ranking ketujuh dunia bakal mempertaruhkan pemain seperti Noussair Mazraoui dan Ismael Saibari, manakala Belanda yang berada di tangga kelapan dunia turut memburu tiket ke pusingan seterusnya.
Terdahulu, saingan pusingan kalah mati menyaksikan tuan rumah bersama, Kanada, melakar sejarah apabila mara ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama selepas menewaskan Afrika Selatan 1-0 hasil jaringan dramatik kapten Stephen Eustaquio pada minit ke-92.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back