HOUSTON - Cristiano Ronaldo sekali lagi mengukuhkan statusnya sebagai legenda bola sepak apabila muncul pemain pertama dalam sejarah yang menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia berbeza.
Penyerang Portugal berusia 41 tahun itu mencipta rekod berkenaan selepas meledak dua gol ketika membantu pasukannya menewaskan Uzbekistan dalam aksi peringkat kumpulan.
Ronaldo membuka jaringan seawal minit keenam menerusi rembatan kaki kanan hasil hantaran João Cancelo sebelum menggandakan kelebihan Portugal pada minit ke-39 selepas menerima umpanan Bruno Fernandes.
Dua gol tersebut turut menjadikan Ronaldo sebagai pemain kedua tertua yang menjaringkan gol dalam sejarah Piala Dunia. Rekod pemain tertua masih dipegang bekas penyerang Cameroon, Roger Milla, yang melakukannya pada usia 42 tahun pada edisi 1994 di Amerika Syarikat.
Selepas menjaringkan gol kedua, Ronaldo melaungkan kata-kata “saya dah kembali”, yang sekali lagi diulanginya selepas tamat perlawanan.
“Ini supaya orang ramai tidak lupa,” katanya kepada media.
Kenyataan itu dipercayai sebagai respons terhadap kritikan yang diterimanya selepas aksi pembukaan Portugal yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 menentang DR Congo.
Bagaimanapun, bekas penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimović, berpendapat Ronaldo tidak perlu membuktikan apa-apa kepada pengkritiknya.
“Bagi saya, dia tidak pernah hilang. Saya tidak tahu mengapa dia berkata ‘saya dah kembali’,” katanya.
Tahun ini turut menyaksikan Ronaldo dan kapten Argentina, Lionel Messi, menjadi dua pemain pertama yang beraksi dalam enam edisi Piala Dunia.
Namun, Ronaldo kini memegang rekod unik sebagai satu-satunya pemain yang berjaya menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol dalam setiap penampilan Piala Dunia sejak 2006 hingga 2026.
Messi tidak dapat menyamai pencapaian itu selepas gagal menemui jaringan pada edisi 2010 di Afrika Selatan.
“Memecahkan rekod memang sesuatu yang menggembirakan, tetapi yang paling penting adalah membantu pasukan mencapai sasaran mereka. Tuhan sentiasa membantu mereka yang berusaha,” kata Ronaldo.
“Ia adalah minggu yang sukar dan gelap. Ada yang menganggap saya sudah berakhir, tetapi saya terus percaya kepada kerja keras. Memang sukar, tetapi kami sudah kembali.”
Dengan tambahan dua gol itu, Ronaldo kini mengumpul 10 jaringan dalam sejarah Piala Dunia.
Sementara itu, Messi masih mendahului senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan dengan 18 gol selepas meledak hatrik ketika menentang Algeria dan menambah dua lagi jaringan ketika menewaskan Austria.
Perlawanan menentang Uzbekistan juga menyaksikan Ronaldo membuat penampilan antarabangsa ke-230, sekali gus memperbaharui rekod sebagai pemain lelaki dengan jumlah caps terbanyak dalam sejarah bola sepak.
Edisi 2026 dijangka menjadi penampilan terakhir Ronaldo di pentas Piala Dunia. Sepanjang karier gemilangnya, beliau pernah mengetuai Portugal menjuarai EURO 2016 selain memenangi lima trofi Liga Juara-Juara Eropah bersama Manchester United dan Real Madrid.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back