LONDON: Bekas kapten Manchester United, Roy Keane, mengundang perhatian apabila secara berseloroh menyatakan beliau akan meninggalkan United Kingdom sekiranya England berjaya menjuarai Piala Dunia musim panas ini.
Legenda Ireland itu mengakui dirinya semakin resah setiap kali skuad Three Lions mara jauh dalam kejohanan utama, malah berkata beliau sanggup berpindah ke Australia jika England akhirnya menamatkan kemarau trofi antarabangsa yang berlarutan sejak 1966.
Bercakap kepada Sky Bet, Keane yang kini bertugas sebagai pengulas televisyen tidak menyembunyikan pendiriannya terhadap pasukan England walaupun sering membuat liputan perlawanan mereka.
“Saya tidak mahu England menang. Tetapi apabila anda bekerja di sana dan bersama ITV, sudah tentu anda mahu mereka bermain dengan baik.
“Apabila mereka mara ke peringkat kalah mati, ada juga sedikit keterujaan,” katanya.
Namun, Keane mengakui debaran mula dirasainya apabila England menghampiri peringkat penentuan dalam sesuatu kejohanan.
“Ketika itulah saya mula bimbang apabila mereka masuk ke separuh akhir dan final. Tolonglah berhenti sekarang. Singkirkan mereka sekarang,” katanya sambil bergurau.
Apabila ditanya sama ada kemenangan England akan menggembirakannya, Keane menjawab ringkas: “Tidak, saya akan berhijrah ke Australia.”
England yang kini dibimbing Thomas Tuchel dilihat antara pencabar utama untuk memburu kejuaraan dunia. Mereka akan menamatkan persiapan terakhir menentang Costa Rica sebelum memulakan kempen dalam Kumpulan L.
Skuad Three Lions dijadual membuka saingan menentang Croatia sebelum berdepan Ghana dan Panama dalam usaha melangkah ke pusingan seterusnya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back