NEW JERSEY - Bintang Brazil, Neymar, tidak akan menyertai perjalanan skuad kebangsaan ke Cleveland bagi aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia menentang Mesir esok, kerana masih menjalani proses pemulihan daripada kecederaan betis.
Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) memaklumkan bahawa penyerang berusia 34 tahun itu akan terus berada di New Jersey untuk mengikuti rawatan intensif serta program pemulihan fizikal.
“Neymar tidak akan berlepas bersama delegasi ke Cleveland. Dia akan kekal di New Jersey bagi menjalani fisioterapi dan memperhebat program pemulihan fizikalnya,” kata CBF dalam satu kenyataan.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil itu sebelum ini mengalami kecederaan betis tahap dua, iaitu kecederaan sederhana yang melibatkan koyakan sebahagian otot.
Walaupun diketepikan daripada aksi pemanas badan tersebut, barisan kejurulatihan Brazil masih optimis Neymar mampu pulih tepat pada masanya untuk perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Maghribi pada 13 Jun.
Brazil, yang memburu gelaran dunia keenam, turut dijadual berdepan Haiti dan Scotland dalam saingan Kumpulan C.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back