BUDAPEST: Paris Saint-Germain (PSG) mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Arsenal 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final mendebarkan di Puskas Arena, awal pagi tadi.
Kejayaan itu menyaksikan PSG muncul pasukan kedua dalam era Liga Juara-Juara moden sejak musim 1992-93 yang berjaya mempertahankan gelaran, selepas Real Madrid.
Arsenal pula terus kempunan untuk menjulang trofi paling berprestij di Eropah buat kali pertama apabila gagal memanfaatkan peluang dalam penentuan penalti, termasuk sepakan terakhir yang disia-siakan oleh Gabriel Magalhaes.
Dalam aksi yang berlangsung sengit, Arsenal terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi rembatan deras Kai Havertz.
Gol itu mengimbau kenangan final Liga Juara-Juara lima tahun lalu apabila pemain Jerman tersebut turut muncul wira Chelsea ketika menewaskan Manchester City 1-0 di Porto.
Havertz memanfaatkan bola yang terlepas di kawasan tengah padang sebelum melakukan larian pantas ke arah gawang PSG dan melepaskan rembatan padu dari sudut sempit yang menewaskan penjaga gol lawan.
Jaringan awal itu memberikan kelebihan kepada skuad kendalian Mikel Arteta yang berjaya mengekang asakan PSG sepanjang babak pertama.
Bagaimanapun, juara bertahan itu bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-65 apabila memperoleh sepakan penalti selepas Khvicha Kvaratskhelia dijatuhkan dalam kotak penalti.
Pemain Georgia itu melakukan gerakan menarik sebelum dikasari pertahanan Arsenal, Cristhian Mosquera, sekali gus menghadiahkan peluang terbaik buat PSG untuk kembali ke dalam permainan.
Ousmane Dembele yang sedang berada di prestasi terbaik tidak mensia-siakan peluang apabila menyempurnakan sepakan penalti dengan tenang untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sehingga tamat masa tambahan, memaksa perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
PSG akhirnya muncul juara selepas menang 4-3 dalam penentuan tersebut, sekali gus mempertahankan mahkota Eropah mereka.
Selain trofi kejuaraan, PSG turut membawa pulang hadiah kemenangan bernilai €25 juta (RM115.61 juta), manakala Arsenal menerima €18.5 juta (RM85.55 juta) sebagai naib juara.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back