RIO DE JANEIRO - Persiapan Brazil menjelang Piala Dunia menerima tamparan awal apabila Neymar tidak menyertai sesi latihan pertama skuad kebangsaan selepas menjalani pemeriksaan perubatan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap kecergasannya.
Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) memaklumkan penyerang berusia 34 tahun itu, yang masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan betis kanan, tidak turun berlatih bersama rakan sepasukan di pusat latihan Granja Comary.
Sebaliknya, Neymar dihantar ke sebuah klinik swasta di Teresopolis untuk menjalani imbasan lanjut bagi menilai keadaan kecederaannya.
“Tiada maklumat lanjut akan dikeluarkan sehingga kakitangan perubatan pasukan kebangsaan melengkapkan penilaian mereka,” menurut kenyataan rasmi CBF.
Ketiadaan Neymar segera menjadi perhatian utama kem Brazil ketika skuad kendalian Carlo Ancelotti itu meneruskan persiapan menghadapi aksi persahabatan menentang Panama di Stadium Maracana, Ahad ini.
Brazil dijadual menjalani tiga lagi sesi latihan di Granja Comary sebelum perlawanan tersebut.
Ancelotti turut berdepan cabaran lain apabila tiga tonggak utama Gabriel Magalhaes, Marquinhos dan Gabriel Martinelli, tidak dapat bersama pasukan kerana terlibat dalam final Liga Juara-Juara antara Arsenal dan Paris Saint-Germain.
Panggilan semula Neymar sebelum ini mencetuskan keterujaan dalam kalangan penyokong selepas dia tidak tersenarai dalam perancangan Ancelotti sepanjang tahun pertama jurulatih Itali itu bersama Brazil.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol dalam 128 penampilan antarabangsa itu juga belum beraksi bersama skuad kebangsaan sejak 2023.
Namun, kepulangannya hadir di tengah-tengah persoalan mengenai kecergasan dan prestasinya selepas beberapa siri kecederaan selain aksi kurang konsisten bersama Santos.
Selepas menentang Panama, Brazil akan menghadapi Mesir di Cleveland sebelum membuka kempen Piala Dunia menentang juara Afrika, Maghribi, pada 13 Jun di New Jersey.
Brazil dan Maghribi diundi dalam Kumpulan C bersama Haiti dan Scotland.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back