CHIBA, 20 Mei - Sebuah zoo di Jepun yang menempatkan monyet Jepun tular dikenali sebagai Punch sedang mempertimbangkan larangan penuh terhadap aktiviti fotografi dan rakaman video di kawasan berhampiran kandangnya susulan insiden pencerobohan baru-baru ini.
Menurut laporan agensi berita Kyodo, pihak Ichikawa City Zoo telah memperluas zon penampan di sekitar kandang serta memasang jaring keselamatan bagi menghalang pencerobohan selepas kejadian pada Ahad lalu yang melibatkan dua lelaki yang mendakwa sebagai warga Amerika Syarikat.
Punch mendapat perhatian antarabangsa selepas video dan gambarnya tular di media sosial kerana sering memeluk patung orang utan yang diberikan oleh penjaga zoo selepas ditinggalkan ibunya.
Polis pada Selasa menyerahkan dua lelaki terbabit kepada pihak pendakwa raya atas dakwaan menghalang tugas secara paksa. Salah seorang suspek berusia 24 tahun dan mendakwa dirinya sebagai pelajar universiti, manakala seorang lagi berusia 27 tahun yang mengaku sebagai penyanyi.
Berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki tersebut dipercayai berpakat menceroboh kandang monyet di zoo itu kira-kira pukul 10.50 pagi Ahad lalu.
Menurut polis, lelaki yang lebih muda memanjat pagar sebelum terjun ke dalam kandang konkrit sambil memakai kostum watak tertentu, manakala rakannya merakam tindakan itu menggunakan telefon pintar dari luar kawasan kandang.
Ketua Bahagian Taman Zoologi dan Botani kerajaan bandar Ichikawa, Takashi Yasunaga, berkata tindakan tersebut bukan sahaja membahayakan kesihatan haiwan, malah turut mengancam keselamatan pekerja zoo.
“Kami mahu mengambil pelbagai langkah bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.
Punch dilahirkan pada Julai tahun lalu sebelum diberikan patung orang utan oleh penjaga zoo sebagai pengganti ibunya.
Sejak Januari lalu, Punch mula ditempatkan bersama monyet lain di dalam kandang berkenaan dan perkembangan haiwan itu sering dikongsikan menerusi media sosial zoo sehingga menarik perhatian ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back