KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu terkenal, Yuna melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai artis Malaysia pertama yang berjaya meraih 1 bilion penstriman di platform muzik Spotify.
Pemilik nama sebenar Yunalis Zarai itu mengakui terkejut dengan pencapaian tersebut dan menyifatkannya sebagai antara hadiah paling bermakna sepanjang perjalanan seninya.
Menurut Yuna, dia sendiri tidak menyedari mengenai rekod berkenaan sehinggalah dimaklumkan oleh para peminat.
“Alhamdulillah, sepanjang bergelar anak seni saya tak pernah sangka akan sampai ke tahap ini.
“Sebenarnya saya tahu pun daripada peminat yang kongsikan berita tersebut kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran lagu kolaborasi terbaharunya bersama Aizat Amdan dan Sekumpulan Orang Gila menerusi single Ajar Aku.
Pelantun lagu Dan Sebenarnya itu turut menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu penanda aras baharu dalam kerjayanya, lebih-lebih lagi apabila dia kini bergerak secara bebas dalam industri muzik.
“Ini seperti hadiah terindah selepas bertahun-tahun berkarya. Dalam masa sama, mungkin juga satu permulaan baharu untuk saya.
“Satu bilion strim ini membuktikan walaupun saya bergerak secara independen, saya masih mampu melakukannya,” ujarnya.
Bagaimanapun, Yuna menegaskan dia tidak mahu terlalu terikat dengan angka atau statistik penstriman semata-mata, sebaliknya lebih mengutamakan karya yang memberi makna dan kepuasan kepada dirinya serta pendengar.
“Angka besar memang satu pencapaian, tetapi saya lebih fikir tentang karya yang boleh memberi impak dan makna dalam hidup,” katanya lagi.
Terdahulu, Spotify mengumumkan Yuna sebagai artis Malaysia pertama yang berjaya mencapai 1 bilion strim di platform tersebut.
Berdasarkan perkongsian peminat di media sosial, Yuna kini memiliki lebih 3.7 juta pendengar bulanan selain lebih 476,000 pengikut di Spotify.
Antara negara yang mencatat jumlah pendengar tertinggi bagi karya Yuna ialah United States, Malaysia, Indonesia, Singapore dan Australia.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back