Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan akan menggunakan khidmat pengadil luar negara bagi mengendalikan aksi final Piala Malaysia edisi ke-99 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuching City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu depan.
Presiden MFL, Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia bagi mendapatkan barisan pengadil antarabangsa terbaik untuk perlawanan berprofil tinggi itu.
Menurut beliau, cadangan tersebut melibatkan empat pegawai pengadil dari luar negara termasuk dua pembantu pengadil serta seorang pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR).
Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan mutu pengadilan berada pada tahap tertinggi selain menjamin integriti dan kelancaran aksi final yang dijangka menjadi tumpuan utama peminat bola sepak tempatan.
“Final Piala Malaysia merupakan perlawanan berprestij dan berprofil tinggi. Penggunaan pengadil bertaraf antarabangsa diyakini mampu meningkatkan pengalaman pertandingan kepada pemain, pegawai pasukan serta penyokong,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, kehadiran pengadil luar negara juga dapat membuka ruang pertukaran kepakaran kepada pengadil tempatan dalam usaha memperkukuhkan standard pengadilan domestik.
Ab Ghani menjelaskan, keputusan itu dibuat susulan cadangan yang dibangkitkan menerusi sesi Perbincangan MFL Bersama Rakan Kongsi Liga pada 29 April lalu.
Dalam masa sama, beliau mengakui penggunaan pengadil import melibatkan kos yang tinggi dan memerlukan pertimbangan teliti daripada pihak liga.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penggunaan pengadil luar bukan sesuatu yang baharu dalam saingan domestik apabila final Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak sebelum ini turut dikendalikan pengadil dari Jepun.
Sumber: Sinar Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back