LONDON - Manchester United dilaporkan semakin hampir mengesahkan pelantikan Michael Carrick sebagai pengurus tetap pasukan selepas prestasi cemerlang sejak mengambil alih pasukan awal tahun ini.
Bekas pemain tengah England berusia 44 tahun itu dilantik sebagai pengurus sementara pada Januari lalu susulan pemecatan Ruben Amorim selepas kempen mengecewakan The Red Devils.
Di bawah kendalian Carrick, United berjaya mengesahkan slot ke UEFA Champions League dengan baki tiga perlawanan liga, sekali gus menamatkan penantian dua musim untuk kembali ke pentas elit Eropah.
Carrick turut berjaya mengubah kedudukan pasukan apabila membawa United melonjak daripada tangga ketujuh ke kedudukan ketiga Premier League sejak mengambil alih pada 13 Januari lalu.
Sepanjang tempohnya sebagai pengendali sementara, beliau merekodkan 10 kemenangan daripada 15 perlawanan dalam semua kejohanan dengan hanya dua kekalahan dicatatkan.
Menurut laporan media, Ketua Pegawai Eksekutif United, Omar Berrada bersama Pengarah Bola Sepak, Jason Wilcox dijangka mengesyorkan kepada pemilik bersama kelab, Sir Jim Ratcliffe supaya Carrick diberikan kontrak tetap.
Walaupun beberapa nama lain turut dipertimbangkan, Carrick dikatakan kekal sebagai calon pilihan utama selain mendapat sokongan terbuka daripada pemain-pemain skuad utama.
Dalam perkembangan sama, beberapa syarikat taruhan dilaporkan sudah menggantung pertaruhan mengenai pelantikan rasmi Carrick sebagai pengurus tetap United.
Carrick dijadual menghadiri sidang media Jumaat ini menjelang aksi terakhir liga musim ini menentang Nottingham Forest di Old Trafford pada Ahad.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back