KUALA LUMPUR – Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana, 36, sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila videonya memaparkan dia memanjat tiang kapal untuk memasang atau membetulkan bendera tular di media sosial.
Momen berkenaan dikongsikan sendiri oleh Ardell menerusi hantaran video di platformnya semalam.
“Satu anak panah mudah dipatahkan, tetapi tidak sepuluh yang diikat bersama,” tulisnya sebagai kapsyen.
Aksi berani isteri kepada pelakon Nadzmi Adhwa itu mengundang pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya kagum dengan keberanian serta keteguhan semangatnya walaupun berada dalam situasi mencabar dan berisiko.
Ramai pengguna media sosial menyifatkan Ardell sebagai “wanita besi” kerana sanggup mengetepikan rasa gayat demi menyampaikan mesej keamanan dan perjuangan kemanusiaan. Mereka turut memuji semangatnya yang dianggap mewakili kekuatan wanita Malaysia.
Sebelum ini, Ardell dilaporkan berlepas ke Barcelona, Sepanyol pada 5 April lalu bagi menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 ke Gaza.
Dia turut menyertai misi berkenaan bersama penyanyi Datin Seri Heliza Helmi, adiknya Hazwani, serta beberapa aktivis lain yang lain.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back