MIAMI – Bintang bola sepak dunia, Lionel Messi, berdepan tindakan undang-undang selepas didakwa melanggar kontrak berkaitan perlawanan persahabatan Argentina di Amerika Syarikat.
Syarikat berpangkalan di Miami, VID Music Group, memfailkan saman terhadap Messi serta Persatuan Bolasepak Argentina di Mahkamah Sirkit Miami-Dade pada 31 Mac lalu. Turut dinamakan ialah eksekutif sukan, Julian Marcos Kapelan.
Menurut dokumen mahkamah, VID mendakwa mereka mempunyai hak eksklusif untuk menganjur dan mempromosikan dua aksi persahabatan Argentina menentang Venezuela dan Puerto Rico pada Oktober tahun lalu, termasuk memperoleh hasil daripada tiket, siaran dan penajaan.
Kontrak itu didakwa menetapkan Messi perlu beraksi sekurang-kurangnya 30 minit dalam setiap perlawanan, kecuali jika mengalami kecederaan — dengan kehadirannya dianggap faktor utama nilai komersial acara tersebut.
Namun, Messi tidak diturunkan ketika Argentina menewaskan Venezuela 1-0 di Stadium Hard Rock, sebaliknya hanya menonton dari tempat duduk khas. Sehari kemudian, beliau beraksi bersama Inter Miami dan menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Atlanta United.
VID turut mendakwa Messi, AFA dan Kapelan mengelirukan syarikat itu untuk menandatangani perjanjian berkenaan, selain menuduh berlaku salah nyata dan pelanggaran kontrak.
Messi bagaimanapun kembali beraksi ketika Argentina membelasah Puerto Rico 6-0 beberapa hari kemudian, dengan menyumbang dua bantuan jaringan dalam perlawanan yang turut dianjurkan oleh VID.
Kes ini masih dalam proses mahkamah dan berpotensi memberi implikasi besar terhadap hubungan komersial antara pemain bintang, persatuan bola sepak dan penganjur acara.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back