KUCHING, 16 April (Bernama) - Kerajaan Negeri Sarawak hari ini mengumumkan beberapa bantuan khas bagi membantu rakyat negeri itu mendepani cabaran krisis tenaga dan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat yang turut memberi kesan kepada rakyat Bumi Kenyalang.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri bersetuju menaikkan kadar Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada isi rumah, warga emas dan individu bujang dalam kadar RM75 hingga RM150.
Beliau berkata hampir 900,000 penerima layak akan menerima bantuan tersebut berdasarkan data penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026.
“Penyaluran bantuan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tiga fasa sepanjang 2026. Fasa pertama telah mula disalurkan pada Mac, diikuti fasa kedua dijadualkan pada Mei manakala fasa ketiga pada November.
“Kenaikan kadar ini akan melibatkan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM136.2 juta. Keseluruhan peruntukan kewangan Kerajaan Negeri Sarawak bagi pelaksanaan SKAS tahun ini berjumlah RM680 juta daripada jumlah asal RM543.8 juta,” katanya pada sidang media mengenai pengumuman bantuan tersebut di sini hari ini.
Abang Johari berkata kerajaan negeri Sarawak juga akan memberikan diskaun khas elektrik untuk pengguna domestik sebanyak 25 peratus bermula April hingga Disember tahun ini.
“Dijangka 714,557 pengguna domestik akan menikmati manfaat ini, dengan pembayaran sebanyak RM188.1 juta yang sepenuhnya ditanggung Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya.
Selain itu, beliau berkata bagi mengurangkan kos perniagaan para peniaga dan penjaja di Sarawak, kerajaan negeri akan memberikan diskaun 50 peratus ke atas sewaan pasar dan gerai milik pihak berkuasa tempatan.
“Manakala bagi peniaga mikro, kecil dan sederhana yang menyewa di premis perniagaan milik badan berkanun negeri seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), diskaun sewaan sebanyak 50 peratus turut diberikan dan ditanggung badan berkanun berkenaan.
“Inisiatif diskaun sewaan ini melibatkan anggaran implikasi kewangan berjumlah RM8.1 juta,” katanya.
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back