PARIS - Paris Saint-Germain (PSG) membawa bekalan selesa ke aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara UEFA selepas menundukkan Liverpool 2-0 dalam perlawanan pertama, awal pagi tadi.
Gol pembukaan hadir seawal minit ke-11 menerusi Desire Doue, yang menyempurnakan peluang hasil sentuhan Ryan Gravenberch dengan percubaan melambung melepasi penjaga gol Liverpool, Giorgi Mamardashvili.
PSG terus menguasai permainan dan menggandakan kelebihan pada minit ke-65 apabila Khvicha Kvaratskhelia menewaskan rakan senegaranya itu untuk gol kedua tuan rumah.
Walaupun dominan sepanjang perlawanan, PSG mungkin sedikit kecewa kerana gagal menambah jaringan, termasuk satu sepakan penalti pada separuh masa kedua yang dibatalkan selepas semakan VAR.
“Kami sebenarnya mempunyai peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol, tetapi keputusan ini tetap positif. Namun, kami perlu kekal fokus kerana aksi di Anfield pasti berbeza,” kata Kvaratskhelia.
Sementara itu, Liverpool kendalian Arne Slot terus bergelut, mencatat kekalahan kedua dalam tempoh lima hari selepas tewas besar kepada Manchester City dalam saingan Piala FA sebelum ini.
The Reds kini hanya meraih satu kemenangan daripada enam perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, selain mencatat kekalahan ke-16 musim ini.
“Kami banyak bertahan dan mungkin sedang berada dalam ‘mod bertahan’ ketika ini. PSG adalah pasukan yang lebih baik, tetapi kami masih belum tersingkir,” kata Slot.
Liverpool masih menaruh harapan untuk bangkit di Anfield, mengulangi kebangkitan dramatik seperti di pusingan 16 terakhir sebelum ini. Namun, cabaran kali ini dijangka lebih sukar apabila PSG tampil dengan prestasi meyakinkan dan kelebihan dua gol di tangan.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back