KUALA LUMPUR - Biduanita Negara, Siti Nurhaliza terus mengukuhkan statusnya sebagai ikon muzik apabila dipilih semula sebagai wakil kempen Spotify EQUAL Singapura & Malaysia bagi Mac 2026 menandakan penyertaan kali kedua beliau dalam inisiatif global itu.
Lebih membanggakan, imej Siti yang tampil anggun dalam busana tradisional merah turut dipaparkan di skrin digital gergasi di Times Square, Amerika Syarikat satu simbol pengiktirafan antarabangsa terhadap pengaruhnya dalam industri muzik.
Pengiktirafan tersebut mencerminkan pencapaian konsisten Siti sepanjang kerjayanya, selain mengangkat suara wanita Asia Tenggara ke pentas global. Dalam kenyataan rasmi, Siti meluahkan rasa syukur atas penghormatan itu.
“Ini satu penghormatan besar buat saya. Alhamdulillah atas rezeki ini,” katanya.
Menurut anak kelahiran Pahang itu, pencapaian berkenaan membuktikan muzik berkualiti mampu kekal relevan tanpa mengira usia atau zaman, terutama dalam era digital yang pantas berubah.
Sebagai figura wanita berpengaruh, Siti melihat pengiktirafan ini bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi lambang kekuatan suara wanita dalam industri.
“Ia membawa mesej bahawa suara wanita mampu menyatukan peminat dari Malaysia, Singapura hingga ke seluruh dunia,” katanya sambil menghargai usaha Spotify dalam memperkasakan artis wanita.
Dalam masa sama, Siti turut berkongsi nasihat kepada penyanyi muda menekankan kepentingan kualiti berbanding populariti sementara.
“Jangan hanya kejar viral. Kejarlah kualiti, bina identiti yang kuat dan jaga vokal dengan disiplin,” ujarnya.
Beliau juga mengingatkan artis agar sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi tanpa mengabaikan asas seni, selain mengekalkan sikap positif dan daya tahan dalam menghadapi cabaran industri.
Mengakhiri kenyataan, Siti menegaskan peranan penting peminat dalam perjalanan kerjaya seseorang artis.
“Hargai peminat anda kerana tanpa mereka, kita tidak akan berada di mana-mana.”
Pemilihan semula Siti sebagai wajah Spotify EQUAL sekali lagi membuktikan pengaruhnya yang berterusan bukan sahaja sebagai legenda muzik, tetapi juga inspirasi kepada generasi baharu untuk terus berkarya dan memperjuangkan suara wanita.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back