Spekulasi mengenai kemungkinan penyanyi Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan di media sosial.
Perbualan mengenai perkara itu tercetus selepas beberapa rakan dalam industri hiburan tempatan serta kenalan rapat memberi bayangan seolah-olah sesuatu bakal diumumkan tidak lama lagi. Malah, Anwar Ibrahim turut dilihat berseloroh bertanyakan tentang kad jemputan ketika menghadiri satu majlis baru-baru ini, sekali gus menambah lagi teka-teki dalam kalangan peminat.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai netizen mula mengaitkan beberapa ‘petunjuk’ yang dikongsi oleh kenalan pasangan berkenaan. Dalam masa sama, peminat meluahkan keterujaan sekiranya benar kedua-dua figura itu bakal disatukan.
Sebelum ini, Syed Saddiq turut berkongsi momen sambutan ulang tahun kelahiran Bella menerusi Instagram, yang turut dihadiri dua anak penyanyi itu. Dalam kapsyen perkongsian berkenaan, beliau menyifatkan Bella sebagai “Iron Lady”, kata-kata yang menyentuh hati ramai pengikutnya.
Perkongsian itu kemudian mencuri perhatian apabila usahawan Ben Ali meninggalkan komen berbunyi “tak sabarnya nak tunggu seminggu selepas raya”, yang dianggap sebagai ‘hint’ besar oleh netizen.
Di ruangan komen, ramai berpendapat kenyataan “seminggu selepas raya” mungkin merujuk kepada 28 Mac, sekali gus menambah lagi spekulasi mengenai kemungkinan majlis penting pasangan tersebut pada tarikh berkenaan.
Hubungan Bella dan Syed Saddiq yang sering digelar peminat sebagai “BASS” gabungan nama kedua-duanya mula mendapat perhatian sejak mereka digandingkan sebagai duta sebuah jenama pakaian tahun lalu. Keserasian mereka kemudian membawa kepada lebih banyak kerjasama dalam pelbagai kempen jenama lain.
Sehingga kini, kedua-dua mereka masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai khabar angin tersebut. Sama ada ia benar-benar majlis perkahwinan atau sekadar jemputan rumah terbuka Aidilfitri, peminat kini hanya mampu menunggu pengumuman daripada tuan empunya badan.
Sumber: Sinar Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back