LONDON, 4 Mac (Bernama-PA Media/dpa) — Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, dilaporkan masih berada di Arab Saudi bersama kelabnya, Al Nassr FC, bagi menjalani proses pemulihan kecederaan meskipun timbul laporan bahawa pesawat peribadinya telah meninggalkan negara itu.
Menurut laporan pada Selasa, sebuah jet milik pemain berusia 41 tahun itu dilaporkan berlepas dari Arab Saudi pada Isnin. Perkembangan tersebut mencetuskan spekulasi susulan ketegangan yang memuncak di Asia Barat.
Arab Saudi bersama beberapa negara Teluk lain yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat berdepan serangan balas dari Iran selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Ronaldo kekal berada di negara itu. Al Nassr sebelum ini memuat naik imej beliau menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi perlawanan di tempat sendiri menentang Neom SC pada Sabtu ini. Namun, kelab tersebut kemudiannya memaklumkan bahawa beliau terpaksa diketepikan akibat kecederaan hamstring yang dialami ketika membantu pasukannya menewaskan Al Fayha FC pada hujung minggu lalu.
Perlawanan menentang Neom dijadual berlangsung di Riyadh. Pada Selasa, terdapat laporan bahawa Kedutaan Amerika Syarikat di bandar berkenaan menjadi sasaran dron Iran.
Sementara itu, di Emiriah Arab Bersatu, pemain-pemain tenis terpaksa dipindahkan dari gelanggang ketika kejohanan Fujairah Challenger susulan serangan dron berhampiran sebuah terminal minyak di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin meningkat.
Pihak Association of Tennis Professionals (ATP) kemudian mengesahkan bahawa perlawanan telah digantung bagi baki hari tersebut selepas amaran keselamatan dikeluarkan.
“Selaras dengan protokol keselamatan yang ditetapkan, permainan dihentikan serta-merta dan pemain, pegawai serta kakitangan diarahkan ke kawasan selamat yang ditetapkan,” menurut jurucakap ATP.
Beliau berkata kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pemain serta semua petugas kejohanan menjadi keutamaan pihak penganjur, sambil menambah bahawa situasi semasa akan terus dipantau dan maklumat lanjut akan disalurkan dari semasa ke semasa.
Sumber: BERNAMA-PA MEDIA/dpa
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back