WOLVERHAMPTON: Mohamed Salah akhirnya menamatkan kemarau jaringan 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris, namun gol tersebut gagal menyelamatkan Liverpool FC daripada kekalahan mengejut 2-1 di tangan pasukan tercorot, Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux.
Kekalahan itu menyaksikan Liverpool kekal di tangga kelima dengan 48 mata daripada 29 perlawanan. Kedudukan mereka kini dalam bahaya sekiranya Chelsea FC berjaya menewaskan Aston Villa FC, The Reds bakal tergelincir ke tangga keenam, sekali gus merumitkan misi layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Sementara itu, skuad kendalian Rob Edwards terus membuktikan peningkatan prestasi apabila mencatat kemenangan berturut-turut ke atas pasukan kelompok lima teratas, selepas turut menewaskan Villa minggu lalu.
Perlawanan yang sebelum itu berlangsung hambar akhirnya ‘meledak’ dalam tempoh 15 minit terakhir. Rodrigo Gomes membuka tirai jaringan buat Wolves sebelum Salah menyamakan kedudukan, menamatkan kemarau panjangnya.
Namun, kegembiraan pelawat tidak bertahan lama apabila Andre muncul wira tuan rumah dengan gol kemenangan lewat permainan, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh di Molineux.
Kedua-dua pasukan dijadual bertemu semula di venue sama, Jumaat ini, bagi aksi pusingan kelima Piala FA peluang terbaik buat Liverpool membalas dendam dan menghidupkan kembali momentum musim mereka.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back