LONDON: Bekas bintang Manchester United, Rio Ferdinand, mendedahkan detik mencemaskan apabila beliau dan keluarganya terpaksa berlindung di ruang bawah tanah kediaman mereka di Dubai susulan siri letupan dan bunyi pesawat pejuang yang dilaporkan di ruang udara berhampiran.
Ferdinand, 47, yang berpindah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ogos tahun lalu bersama isterinya, Kate Ferdinand, serta anak-anak mereka, berkongsi pengalaman tersebut menerusi episod terbaharu podcastnya, Rio Ferdinand Presents.
Menurutnya, suasana sejak beberapa hari lalu jauh berbeza daripada kebiasaan apabila bunyi letupan kuat, pesawat dan jet pejuang kedengaran jelas di udara.
“Memang minggu yang berbeza buat saya, tidak dinafikan. Kami cuba kekal aktif seperti waktu COVID dulu bersenam bersama dan lakukan aktiviti di rumah.
Tetapi apabila anda mendengar bunyi peluru berpandu, pesawat dan letupan besar di atas kepala, ia sesuatu yang menakutkan. Kami sendiri tidak tahu secara terperinci apa yang berlaku,” katanya.
Bekas pertahanan England itu menjelaskan cabaran terbesar adalah memastikan anak-anak mereka kekal tenang dalam situasi tidak menentu.
“Anda perlu jelaskan kepada anak-anak apa yang berlaku dan bantu mereka melalui detik ini. Sebagai ketua keluarga, saya perlu kekal tenang supaya semua orang berasa selamat.
Sejujurnya, situasi ini agak menakutkan, tetapi dalam masa sama saya rasa kami dijaga dengan baik. Studio saya kini menjadi bunker,” ujarnya.
Ferdinand turut mendedahkan bahawa mereka menerima nasihat untuk berlindung di ruang bawah tanah pada malam pertama bunyi letupan kedengaran.
“Kami tidur di bawah dengan selimut dan kelengkapan asas. Kami gunakan ruang itu sebaik mungkin,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kate memaklumkan menerusi Instagram bahawa keluarga mereka berada dalam keadaan selamat meskipun melalui malam yang mencemaskan.
“Terima kasih atas semua mesej. Kami selamat. Kerajaan melakukan tugas yang baik untuk memastikan keselamatan kami.
Malam tadi sangat menakutkan, tetapi Cree dan Shae menganggapnya seperti sesi tidur bersama di ruang bawah tanah,” tulisnya.
Dua lagi anak lelaki Ferdinand, Lorenz, 19, dan Tate, 17, tidak menyertai perpindahan ke Dubai kerana sedang meneruskan kerjaya bola sepak mereka di United Kingdom.
Perkongsian Ferdinand itu mencetuskan perhatian peminat di media sosial, dengan ramai yang menzahirkan sokongan dan doa agar keselamatan keluarganya terus terpelihara.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back