TEHRAN – Jumlah korban akibat serangan yang menyasarkan sebuah sekolah di Iran meningkat kepada 108 orang, dalam kejadian yang dilaporkan berpunca daripada serangan ketenteraan oleh United States dan Israel terhadap negara itu.
Jurucakap Bulan Sabit Merah Iran memaklumkan bahawa mangsa yang terkorban terdiri daripada pelajar di Sekolah Minab. Operasi mencari dan menyelamat serta pengalihan runtuhan masih giat dijalankan di lokasi kejadian bagi mengesan mangsa lain yang mungkin terperangkap.
Agensi berita AFP tidak dapat mengesahkan angka korban secara bebas kerana tidak dibenarkan mengakses lokasi kejadian. Pihak tentera Israel juga belum memberikan sebarang kenyataan rasmi ketika dihubungi, manakala Pentagon turut tidak memberi maklum balas segera.
Namun, jurucakap Komando Pusat AS (CENTCOM) dipetik media antarabangsa berkata pihaknya sedar mengenai laporan kecederaan orang awam akibat operasi ketenteraan yang sedang berlangsung dan sedang meneliti perkara tersebut dengan serius. Katanya, perlindungan orang awam kekal menjadi keutamaan dalam setiap operasi ketenteraan.
Sementara itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyifatkan kejadian itu sebagai satu lagi “lembaran hitam” dalam sejarah konflik yang melibatkan serangan terhadap negaranya.
Semalam, Amerika Syarikat dan Israel dilaporkan melancarkan gelombang serangan terhadap sasaran yang dikaitkan dengan musuh lama mereka di Iran. Terdahulu, Bulan Sabit Merah Iran memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan korban serangan tersebut kini mencecah 201 maut dan 747 cedera.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back