MANCHESTER – Manchester United dilaporkan terbuka untuk menerima semula penjaga gol mereka, Andre Onana, sekali gus memberi peluang kepada pemain itu membuktikan kemampuannya dan merebut kembali posisi utama di Old Trafford.
Onana meninggalkan United pada jendela perpindahan musim panas lalu untuk menyertai kelab Turkiye, Trabzonspor, selepas beberapa kesilapan yang menjejaskan pasukan musim sebelumnya. Situasi itu mendorong United mendapatkan khidmat penjaga gol baharu, Senne Lammens, sebagai pilihan utama.
Menurut pakar perpindahan, Fabrizio Romano, masa depan Onana masih belum pasti dan tidak mustahil beliau akan dipinjamkan sekali lagi pada musim baharu, meskipun terdapat beberapa kelab yang menunjukkan minat.
“United ketika ini tidak merancang untuk mengekalkannya dalam skuad utama dan satu lagi perpindahan pinjaman adalah kemungkinan yang realistik. Perpindahan kekal mungkin sukar kerana faktor kewangan kelab berminat serta isu gaji pemain,” jelasnya.
Romano turut menambah bahawa musim panas ini menjadi tempoh penting buat United, bukan sahaja dari sudut perpindahan pemain, malah bergantung kepada pelantikan pengendali baharu yang bakal menentukan hala tuju dan perancangan jangka panjang kelab.
Bagaimanapun, laporan media di England menyatakan United kini bersedia memberi ruang kepada Onana untuk kembali bersaing di Old Trafford. Penjaga gol Cameroon itu dijangka berdepan cabaran besar untuk merampas semula status No. 1, memandangkan prestasi cemerlang Lammens musim ini, selain kehadiran Altay Bayindir sebagai pilihan kedua pasukan.
Sementara itu, legenda kelab, Edwin van der Sar, yang pernah bekerja bersama Onana di AFC Ajax, tampil memberikan sokongan. Beliau percaya Onana masih memiliki kualiti untuk bangkit dan kembali ke tahap terbaiknya jika diberi peluang.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back