PETALING JAYA - Tindakan Biduanita Negara, Siti Nurhaliza menunaikan solat dengan hanya mengenakan jubah tanpa telekung mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.
Isu tersebut timbul selepas beberapa gambar tular memaparkan penyanyi lagu Anta Permana itu menunaikan solat sejurus menghadiri sebuah majlis berbuka puasa baru-baru ini.
Menjawab persoalan yang dibangkitkan, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim menjelaskan bahawa solat yang ditunaikan adalah sah.
“Ramai tanya saya adakah solat DS (Datuk Seri) Siti ini sah? Jawapan saya, solat DS Siti sah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, antara syarat sah solat bagi wanita ialah menutup aurat dengan sempurna. Pemakaian telekung pula bukanlah satu kewajipan dari sudut hukum, sebaliknya lebih kepada adat dan kebiasaan masyarakat di negara ini.
“Beliau tutup aurat untuk solat. Telekung bukan syarat sah solat, telekung hanya budaya, bukan rukun atau syarat sah solat,” jelasnya.
Penjelasan tersebut dilihat meredakan kekeliruan serta perdebatan dalam kalangan netizen yang sebelum ini mempertikaikan penampilan penyanyi nombor satu negara itu ketika menunaikan ibadah berkenaan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back