LOS ANGELES: Dua legenda tinju dunia, Floyd Mayweather Jr. dan Manny Pacquiao, bakal sekali lagi berkongsi gelanggang dalam pertarungan ulangan yang dinanti-nantikan pada 19 September ini di Sphere, Las Vegas.
Pengumuman rasmi dibuat oleh Netflix, yang akan menyiarkan pertarungan tersebut secara langsung, sekali gus menandakan langkah agresif platform penstriman global itu dalam memperluas kandungan acara sukan berskala besar.
Pertembungan ini mengimbau kembali aksi sensasi pada 2015 yang digelar “Fight of the Century”. Ketika itu, Mayweather menewaskan Pacquiao menerusi keputusan mata dalam kategori welterweight, dalam perlawanan yang mencatat rekod 4.6 juta langganan tontonan berbayar tertinggi dalam sejarah tinju.
Pertarungan tersebut menjana lebih AS$600 juta (RM2.34 bilion), dengan Mayweather dilaporkan membawa pulang sekitar AS$300 juta (RM1.17 bilion).
Kini, hampir sedekad kemudian dan kedua-duanya menghampiri usia lewat 40-an, pentas sekali lagi dibuka untuk bab baharu dalam persaingan dua ikon sukan itu.
Pengumuman ini hadir beberapa hari selepas Mayweather mengesahkan beliau kembali daripada persaraan. Bekas juara dunia pelbagai kategori itu menamatkan karier profesionalnya pada 2017 dengan rekod sempurna 50-0, namun masih aktif dalam beberapa pertarungan pertunjukan selepas itu.
Pacquiao pula bersara pada 2021 bagi memberi tumpuan kepada politik, termasuk bertanding dalam pilihan raya Presiden Filipina, namun kembali ke gelanggang tahun lalu dan mencatat keputusan seri menentang Mario Barrios di Las Vegas.
Selain faktor nama besar, pertarungan ini turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi perlawanan tinju profesional pertama dianjurkan di Sphere, venue futuristik yang lebih sinonim dengan konsert dan tayangan filem sejak dibuka pada 2023. Arena itu menampilkan skrin dalaman melengkung gergasi seluas 160,000 kaki persegi.
Dalam kenyataan bersama, Pacquiao, 47, menyifatkan peminat sudah terlalu lama menunggu ulangan ini.
“Floyd dan saya pernah memberikan dunia pertarungan terbesar dalam sejarah tinju. Peminat berhak menyaksikan ulangan ini,” katanya.
“Saya mahu Floyd hidup dengan satu kekalahan dalam rekod profesionalnya dan sentiasa ingat siapa yang memberikannya.”
Mayweather pula kekal yakin dengan rekod tanpa kalahnya.
“Saya sudah pernah menewaskan Manny sebelum ini. Kali ini keputusannya akan tetap sama,” katanya.
Dengan sejarah, ego dan warisan dipertaruhkan, September ini bakal menyaksikan satu lagi bab besar dalam sejarah tinju dunia — sama ada untuk mengukuhkan legasi, atau mencipta penamat yang berbeza.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back