KUALA LUMPUR: Pengasas dan Presiden AUF MBZ, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen yang sah.
Mahadi, 43, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, suami kepada penyanyi dan aktivis, Datin Seri Heliza Helmi itu didakwa sebagai wakil AUF MBZ Consortium PLT menjalankan urus niaga sekuriti walaupun syarikat berkenaan bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar sebagai perniagaan sekuriti.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Bayrocks Garden Waterfront Villa, Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 hingga 15 Februari 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama Subseksyen 367(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Isu Jaminan: Peguam Bangkit Soal Janggut
Semasa prosiding, peguam bela Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin pada kadar rendah.
Beliau berhujah Mahadi memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dan bukan individu berisiko melarikan diri. Selain itu, katanya, tertuduh menanggung ibunya yang menghidap kanser serta keluarga mentua.
Dalam hujahan tambahan, Mohd Zamri memaklumkan bahawa sekiranya jaminan tidak dibenarkan dan Mahadi ditahan, janggut panjangnya berkemungkinan akan dipotong, yang menurutnya boleh memberi kesan kepada anak guamnya.
Pendakwa Mohon Jaminan Lebih Tinggi
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Danial Imran Nasaruddin, memohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam serta keyakinan pelabur terhadap pasaran sekuriti.
Pendakwaan mencadangkan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin, selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh diwajibkan melapor diri ke pejabat SC sebulan sekali.
Mahkamah akhirnya membenarkan Mahadi diikat jamin sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, serta memerintahkan semua syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back