KUALA LUMPUR – Selangor mengekalkan prestasi cemerlang mereka apabila jaringan lewat Chrigor Moraes membawa kemenangan 1-0 ke atas Kuching City dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Gergasi Merah terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan di bawah kendalian jurulatih Kim Pan Gon, dengan mencatat lapan kemenangan dan dua seri termasuk dalam aksi Liga Super, Piala Malaysia, dan Kejuaraan Kelab ASEAN.
Perlawanan berlangsung sengit apabila Kuching City cuba menembusi kubu Selangor melalui percubaan Petrus Shitembi pada minit ke-25 yang berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi. Selangor turut mencipta beberapa peluang, antaranya percubaan Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-38 yang digagalkan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.
Babak kedua menyaksikan tempo permainan yang tinggi. Kalamullah terpaksa membuat penyelamatan penting terhadap rembatan deras Jordan Mintah pada minit ke-53, manakala Haziq pula menyelamatkan percubaan jarak dekat oleh kapten Selangor, Faisal Halim, pada minit ke-62. Beberapa minit kemudian, rembatan dari luar kotak penalti oleh Moses Atede hampir menghasilkan jaringan apabila menggegarkan tiang gol.
Perlawanan mencapai kemuncaknya pada minit ke-86 apabila Moraes berjaya melepaskan rembatan deras di dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol pembukaan sekaligus gol kemenangan bagi Selangor.
Dengan keputusan itu, Selangor mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga dengan mengumpul 35 mata selepas 17 perlawanan, manakala Kuching City yang mengumpul 31 mata jatuh satu anak tangga ke kedudukan keempat.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back