LONDON – Penyerang baharu Matheus Cunha melontarkan pujian tinggi terhadap Ruben Amorim, menyifatkan pengendali dari Portugal itu sebagai faktor penting di sebalik kebangkitan Manchester United musim ini.
Cunha, yang menyertai United dengan yuran perpindahan besar dari Wolves, berkata pengaruh Amorim melangkaui aspek taktikal semata-mata. Malah, menurutnya, kehadiran Amorim menjadi tarikan utama kepada beberapa pemain baharu untuk memilih Old Trafford sebagai destinasi mereka.
“Mudah untuk melihat masa lalu hanya sebagai masalah, tetapi sebenarnya sebaliknya. Beliau seorang individu luar biasa,” kata Cunha kepada DAZN.
“Ramai pemain baharu datang kerana beliau, jadi beliau juga memainkan peranan besar dalam kejayaan yang kami nikmati sekarang.”
Amorim sebelum ini dikritik kerana ketegasannya menggunakan sistem tiga pertahanan tengah, namun Cunha menegaskan isu tersebut diperbesarkan.
Menurutnya, struktur permainan United ketika ini di bawah pengurus sementara Michael Carrick juga tidak jauh berbeza, khususnya ketika pasukan bertahan.
“Tekanan untuk taktik itu berjaya terlalu tinggi sehingga kami lupa konteks keseluruhan dan terlalu fokus kepada aspek negatif,” jelasnya.
Beliau menambah, United sebenarnya menyerang dengan pelbagai pendekatan, tetapi apabila bertahan, formasi yang digunakan tetap menyerupai sistem yang sering dikaitkan dengan Amorim.
“Kami menyerang dengan pelbagai cara dan akhirnya mempertahankan dalam formasi yang semua orang kata milik Ruben,” tegas Cunha.
Sejak Carrick mengambil alih tugas secara sementara, prestasi Cunha menunjukkan peningkatan ketara. Setakat ini, beliau sudah meledak dua gol serta mencipta satu bantuan jaringan dalam lima penampilan — sumbangan yang membantu menyuntik momentum baharu kepada United.
Kebangkitan ini hadir tepat pada masanya ketika jadual padat menanti skuad Red Devils. United dijadual berdepan Everton awal pagi Selasa sebelum menerima kunjungan Crystal Palace di Old Trafford hujung minggu depan.
Dengan moral pasukan semakin meningkat dan sokongan padu terhadap pendekatan taktikal sedia ada, United kini dilihat semakin stabil — dan menurut Cunha, kredit besar wajar diberikan kepada Amorim atas asas yang telah dibina.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back