Pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh, bakal mencipta satu lagi detik bersejarah apabila menerima penghormatan tertinggi industri hiburan global menerusi pengiktirafan namanya di Hollywood Walk of Fame.
Penghormatan itu hadir selepas kejayaan luar biasanya merangkul Oscar Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi menerusi filem Everything Everywhere All at Once, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon seni bertaraf dunia.
Majlis rasmi dijadualkan berlangsung pada 18 Februari ini di bangunan bersejarah Grauman’s Chinese Theatre, Los Angeles. Yeoh akan menjadi penerima bintang ke-2,836 dalam sejarah Walk of Fame. Pengumuman itu dibuat oleh The Hollywood Chamber of Commerce, dengan acara dijangka bermula pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan.
Peminat di Malaysia pula boleh menyaksikan siaran langsung detik berkenaan pada 19 Februari, jam 3.30 pagi waktu tempatan.
Nama Yeoh sebelum ini diumumkan sebagai penerima bintang Walk of Fame pada Jun 2023, sebaris dengan tokoh industri lain termasuk Presiden Marvel Studios, Kevin Feige, serta mendiang pelakon Carl Weathers.
Momentum Kerjaya Terus Memuncak
Selepas kejayaan di pentas Oscar, pelakon berusia 63 tahun itu terus mengukuhkan pengaruhnya di Hollywood dengan membintangi filem pecah panggung seperti Wicked: For Good.
Beliau juga bakal muncul dalam dua kesinambungan epik arahan James Cameron, iaitu Avatar 4 dan Avatar 5.
Selain itu, Yeoh turut membintangi siri terbitan Prime Video, Blade Runner 2099, serta menjalinkan kolaborasi bersama pengarah tersohor Sean Baker dalam projek berlatarbelakangkan Malaysia.
Tidak Lupa Akar Umbi
Walaupun sibuk dengan jadual antarabangsa, Yeoh tidak melupakan tanah air. Beliau terlibat dalam filem pendek berjudul Sandiwara yang dirakam sepenuhnya menggunakan iPhone di sebuah pasar malam tempatan.
Menerusi karya tersebut, Yeoh mempamerkan aksi luar biasa dengan membawakan lima watak berbeza — satu lagi bukti versatiliti dan dedikasinya terhadap seni lakon. Filem berkenaan dijadualkan ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Berlin pada 13 Februari ini.
Perjalanan Ikon Global
Karier gemilang Yeoh bermula menerusi filem aksi Hong Kong pada era 1990-an sebelum menawan Hollywood dengan pelbagai karya blockbuster termasuk Crazy Rich Asians, yang mencatat sejarah sebagai komedi romantik dengan kutipan tertinggi di Amerika Syarikat dalam tempoh lebih sedekad.
Pada 2022, beliau dinamakan sebagai Ikon Tahunan oleh Time, selain berkhidmat sebagai Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 2016, memperjuangkan kesedaran alam sekitar dan pembangunan mampan.
Dengan pengiktirafan terbaharu di Hollywood Walk of Fame, Michelle Yeoh terus membuktikan bahawa anak seni Malaysia mampu berdiri sebaris dengan nama-nama besar industri hiburan dunia."
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back