KUALA LUMPUR, 3 Feb - AirBorneo telah memeterai perjanjian dengan pengeluar pesawat ATR untuk menempah lapan pesawat baharu, terdiri daripada lima ATR 72-600 dan tiga ATR 42-600, dengan penghantaran dijadualkan antara 2027 hingga 2029.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak memaklumkan perjanjian yang dimuktamadkan pada akhir 2025 itu turut merangkumi opsyen untuk membeli empat pesawat tambahan, sekali gus memberi ruang pertumbuhan masa depan serta memperkukuh perkhidmatan udara luar bandar (RAS).
Perjanjian itu juga membuka peluang pengembangan serantau dalam kawasan pertumbuhan ASEAN Timur yang melibatkan Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina.
Menurut kenyataan tersebut, langkah ini menandakan pencapaian penting dalam transformasi AirBorneo sebagai syarikat penerbangan milik Sarawak dan dalam mengambil alih tanggungjawab rangkaian RAS, iaitu perkhidmatan awam penting yang menghubungkan komuniti terpencil dan kurang mendapat perkhidmatan di Sarawak, Sabah dan Labuan.
Tempahan berkenaan menyokong strategi pembaharuan armada jangka panjang AirBorneo susulan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd oleh kerajaan Sarawak pada 2025 serta penjenamaan semula syarikat itu sebagai AirBorneo.
Ketika ini, AirBorneo mengendalikan lapan pesawat ATR 72-500 yang diambil alih daripada MASwings.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back