Liverpool, 2 Februari 2026 – Liverpool mencatat kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi, terima kasih kepada persembahan cemerlang penyerang utama mereka, Hugo Ekitike.
Ekitike meledak dua gol dalam tempoh dua minit, membuka laluan kepada jaringan Florian Wirtz dan Ibrahima Konate yang melengkapkan kemenangan besar The Reds. Pengurus Liverpool, Arne Slot, memuji Ekitike sebagai “ayam tambatan baharu” selepas penyerang itu kini mengumpul 15 gol, termasuk 10 dalam EPL musim ini.
“Jumlah gol yang dijaringkan memang penting, tetapi sumbangannya jauh lebih besar daripada itu. Sebagai jurulatih, saya nampak peningkatan mendadak dalam prestasinya sejak enam bulan lalu,” kata Slot.
“Ekitike membawa aura positif untuk pasukan dan pantas menamatkan peluang, terutamanya dalam situasi satu lawan satu.”
Slot turut menekankan bahawa pasukannya perlu mengekalkan momentum ini untuk mengejar sasaran menduduki kelompok empat teratas liga.
“Kita berada dalam fasa di mana tidak boleh melakukan kesilapan. Setiap perlawanan adalah kritikal kerana sasaran kita sekurang-kurangnya berada dalam empat teratas EPL,” tambah Slot.
Liverpool kini berharap prestasi mantap Ekitike akan menjadi faktor penentu dalam usaha mereka mengukuhkan kedudukan liga.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back