KUCHING, 1 Feb - Syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak, AirBorneo, dijangka memperluaskan perkhidmatan ke destinasi antarabangsa seperti Jepun, Korea Selatan dan negara-negara ASEAN bagi meningkatkan keterhubungan Kuching dengan pasaran global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, operasi pesawat jet AirBorneo akan bermula selepas Julai tahun ini, sekali gus memudahkan kemasukan pelancong ke negeri itu.
“Selepas Julai, kita akan memulakan operasi pesawat jet untuk menghubungkan Kuching ke Jepun, Korea dan negara-negara ASEAN,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa laluan di sekitar Borneo seperti Balikpapan, Samarinda dan Pontianak akan menggunakan pesawat ATR dengan susun atur kabin yang lebih selesa.
Menurut Abang Johari, peningkatan keterhubungan udara ini dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan perubatan Sarawak, yang kini mencatat pertumbuhan memberangsangkan.
“Berdasarkan statistik, pelancongan perubatan kita meningkat dengan sangat tinggi. Justeru, kita melabur dalam pembangunan hospital swasta dan pengembangan fasiliti sedia ada seperti Hospital Northbank di Tabuan Jaya, Borneo Medical Centre dan Hospital Gleneagles Kuching di Batu Lintang,” katanya.
Gabungan penerbangan antarabangsa dan kemudahan perubatan yang semakin baik dijangka mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama pelancongan kesihatan serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak merancang untuk menyediakan waran penerbangan kepada penjawat awam di seluruh Malaysia dan bersedia untuk berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai cadangan tersebut.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back