LONDON - Gary Neville mengakui terpegun dengan perubahan mendadak Manchester United di bawah kendalian Michael Carrick, khususnya dari segi intensiti permainan, kekukuhan pertahanan dan pendekatan agresif pasukan.
United mencatat kemenangan besar kedua berturut-turut sejak Carrick dilantik sebagai ketua jurulatih hingga hujung musim, selepas menewaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal, 3-2 di Emirates kelmarin. Ia menyusuli kejayaan 2-0 ke atas seteru, Manchester City, minggu lalu.
Gol kemenangan Matheus Cunha pada minit ke-87 memastikan tiga mata berharga di London utara, sekali gus membuatkan Neville sukar mempercayai perubahan pantas yang berlaku di Old Trafford.
“Ada perubahan ketara dari segi intensiti, pertahanan, agresif ketika bertahan dan kesanggupan pemain untuk bekerja sebagai satu unit. Mereka juga mampu bertahan dalam situasi sukar, dan itu lebih jelas ketika menentang Arsenal,” katanya dalam Gary Neville Podcast.
Neville turut menegaskan ancaman di bahagian serangan kini kembali menjadi kekuatan United, dengan pemain depan bukan sahaja kreatif, malah sanggup turun membantu pertahanan.
Bekas kapten United itu memuji Carrick kerana membawa semula pendekatan taktikal yang lebih ‘sederhana’ selepas pasukan sebelum ini terikat dengan formasi 3-4-2-1 di bawah Ruben Amorim. Di bawah Carrick, United kembali menggunakan sistem 4-2-3-1 dan berjaya menjaringkan lima gol dalam dua perlawanan menentang dua pasukan terbaik liga.
“Beliau membawa kesederhanaan yang saya suka. Sistem 4-2-3-1 memberi keseimbangan — pemain kreatif di belakang penyerang, dua sayap yang masuk ke tengah dan pertahanan yang agresif. Ini satu perubahan besar,” katanya.
Walaupun enggan terlalu awal meraikan kebangkitan itu, Neville percaya Carrick dan barisan pemain wajar menerima pujian kerana menghidupkan kembali ‘magis’ di Old Trafford. Beliau juga meramalkan United akan layak ke Liga Juara-Juara musim depan selepas kekal di tangga keempat liga.
Neville berkata kebangkitan ini membuktikan potensi sebenar United selepas prestasi hambar sebelum ini, yang menyebabkan ramai legenda kelab meluahkan kekecewaan.
“Mereka kehilangan banyak mata menentang pasukan yang sepatutnya boleh ditewaskan. Kini mereka sudah membuktikan bahawa mereka lebih baik daripada apa yang ditunjukkan sebelum ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back