London – Manchester United telah mengenal pasti empat calon pemain untuk menggantikan Casemiro, yang dijangka meninggalkan kelab pada penghujung musim ini.
Pemain tengah Brazil itu, antara pemain pertama yang dibawa masuk oleh pengurus Erik ten Hag di Old Trafford, akan berpisah dengan kelab apabila kontraknya tamat. United memilih untuk tidak memperbaharui kontrak pemenang lima kali Liga Juara-Juara itu, yang menerima gaji sebanyak £350,000 (RM1.9 juta) seminggu.
Menurut laporan SunSport, pihak pengurusan kelab telah menyenarai pendek empat calon untuk mengisi kekosongan di posisi tengah, dengan tumpuan utama untuk mendapatkan pemain “nombor 6” baharu pada jendela perpindahan musim panas.
Antara calon utama termasuk bintang England, Elliot Anderson, Adam Wharton, dan Alex Scott, yang masing-masing telah menunjukkan prestasi cemerlang bersama Nottingham Forest, Crystal Palace, dan Bournemouth musim ini.
Selain itu, United turut menaruh minat terhadap Carlos Baleba dari Brighton. Pemain antarabangsa Cameroon berusia 22 tahun itu pernah menjadi sasaran kelab pada musim lalu, namun perpindahan pada jendela musim sejuk gagal direalisasikan berikutan kekosongan jawatan pengurus di Old Trafford.
Perancangan perpindahan Manchester United musim panas ini dijangka menumpukan kepada pengambilan pemain tengah yang berkemampuan mengukuhkan barisan tengah pasukan susulan pemergian Casemiro.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back