MANCHESTER: Pengurus sementara Manchester United, Darren Fletcher, mengakui kekalahan 1-2 kepada Brighton & Hove Albion dalam pusingan ketiga Piala FA di Old Trafford menyerlahkan kerapuhan mental dan keyakinan skuad The Red Devils.
Suasana sunyi menyelubungi stadium sejurus wisel penamat dibunyikan, dengan hanya kedengaran beberapa sorakan mengejek ketika pemain United meninggalkan padang. Kekalahan itu sekali gus memadamkan harapan kelab untuk memenangi sebarang trofi musim ini.
Fletcher, yang juga jurulatih skuad bawah 18 tahun United, mengambil alih tugas mengendalikan pasukan utama selepas Ruben Amorim dipecat minggu lalu. Namun, selepas keputusan seri 2-2 menentang Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris, beliau sekali lagi gagal mencatat kemenangan apabila United tewas di laman sendiri.
Brighton mendahului menerusi jaringan awal Brajan Gruda sebelum bekas pemain United, Danny Welbeck, menambah gol kedua pelawat. United hanya mampu merapatkan jurang, namun gagal mencari gol penyamaan.
“Ia perlawanan yang bercampur-campur. Kami bermula dengan agak baik tetapi jaringan awal itu benar-benar menjejaskan semangat pasukan,” kata Fletcher.
“Hantaran kami terlalu perlahan dan saya mencabar pemain ketika rehat. Situasinya hampir sama seperti perlawanan sebelum ini, kami perlu menggerakkan bola dengan tempo lebih pantas.
“Apabila kami menjadikan kedudukan 1-2, saya fikir itulah detiknya. Penyokong kembali bersemangat dan tenaga meningkat, tetapi kami gagal mendapatkan gol penyamaan.”
Menurut Fletcher, keadaan mental pemain jelas rapuh dan memerlukan usaha besar untuk membina semula keyakinan.
“Anda dapat lihat pemain berada dalam keadaan rapuh. Tanggungjawab untuk bangkit terletak pada mereka. Mereka perlu menggali lebih dalam dan bekerja lebih keras untuk mendapatkan semula keyakinan,” katanya.
United dijangka mengumumkan pengurus sementara baharu minggu depan, namun Fletcher menegaskan siapa pun yang bakal mengambil alih, pemain perlu bertanggungjawab terhadap prestasi sendiri.
“Keyakinan adalah perkara paling berkuasa dalam bola sepak. Apabila anda kehilangannya, anda perlu berjuang, bekerja keras dan menang perlawanan. Dari situlah keyakinan akan kembali,” katanya.
Kegagalan ini menyaksikan United tersingkir awal daripada kedua-dua kejohanan piala domestik buat kali pertama sejak musim 1981-82. Tanpa aksi Eropah, musim mereka berisiko berakhir hambar.
Bagaimanapun, United masih berada di kedudukan ketujuh Liga Perdana Inggeris, hanya satu mata di belakang tangga kelima yang berpotensi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.
Dalam pada itu, Fletcher turut mengkritik pengadil Simon Hooper susulan keputusan melayangkan kad kuning kedua kepada pemain remaja, Shea Lacey, yang membaling bola dalam keadaan marah pada penghujung perlawanan.
“Kad kuning itu mengarut jika dibandingkan dengan kekasaran yang kami terima sepanjang perlawanan. Bagi saya, ia keputusan pengadil yang lemah,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back