LONDON: Darren Fletcher mengesahkan beliau mendapatkan nasihat serta restu legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson, sebelum menerima pelantikan sebagai pengurus sementara kelab itu.
Bekas pemain tengah United berkenaan mengambil alih tugas berkenaan selepas Ruben Amorim dipecat kelmarin, susulan prestasi hambar sepanjang 14 bulan di Old Trafford yang memuncak dengan kritikan terbuka terhadap pengurusan kelab hujung minggu lalu.
United terus bergelut sejak Ferguson bersara pada 2013, selepas menghadiahkan kejuaraan liga terakhir buat kelab. Menyedari situasi sukar itu, Fletcher menghubungi Ferguson yang masih kerap hadir ke perlawanan United sebelum meninggalkan sementara peranannya sebagai jurulatih skuad bawah 18 tahun untuk memimpin pasukan menentang Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.
“Saya sudah bercakap dengannya. Saya tidak suka membuat keputusan besar tanpa berbincang dengan Sir Alex. Itu amalan saya sejak bersama kelab ini,” kata Fletcher pada sidang media.
“Saya mahu dapatkan restunya. Saya hormati beliau dan mahu tahu pandangannya. Beliau menyokong keputusan ini dan menegaskan perkara yang selalu saya pegang lakukan yang terbaik untuk Manchester United.”
Fletcher turut mengakui beliau belum sempat berbincang dengan Amorim selepas dilantik, sekali gus menjadi pengurus sementara kelima United sejak era Ferguson berakhir.
Sementara itu, Ole Gunnar Solskjaer dan Michael Carrick turut dikaitkan sebagai calon pengurus sementara sehingga hujung musim, ketika United masih mencari pengganti tetap Amorim.
Mengulas kritikan daripada bekas pemain United, Fletcher menegaskan ia adalah sebahagian daripada realiti mengendalikan “kelab terbesar di dunia”.
“Mereka berhak bersuara. Mereka bersemangat dan pandangan mereka bernilai,” katanya, merujuk kepada Gary Neville, Roy Keane dan Paul Scholes.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back