GAZA: Seramai 168 doktor Palestin berjaya memperoleh pensijilan perubatan lanjutan di Gaza, meskipun majlis graduasi mereka berlangsung di tengah runtuhan Kompleks Perubatan al-Shifa hospital terbesar yang musnah akibat perang.
Majlis yang diadakan Khamis lalu di Bandar Gaza itu menjadi simbol ketabahan luar biasa, apabila para graduan yang menamakan diri mereka sebagai Kohort Kemanusiaan menamatkan pensijilan Lembaga Palestin selepas lebih dua tahun konflik berterusan.
Sepanjang tempoh pengajian, para doktor berkenaan meneruskan tugas di hospital-hospital Gaza dalam keadaan amat mencabar, termasuk kebuluran, pemindahan paksa dan keganasan berterusan. Sebahagian daripada mereka turut cedera, ditahan atau kehilangan ahli keluarga akibat perang.
Pegawai Kementerian Kesihatan Gaza, Youssef Abu al-Reish, menyifatkan majlis itu sebagai graduasi yang lahir daripada “rahim penderitaan, di bawah pengeboman, di celah runtuhan dan aliran darah”.
Sementara itu, Pengarah Perubatan al-Shifa, Dr Mohammed Abu Salmiya, berkata serangan berulang Israel ke atas kemudahan kesihatan bertujuan memusnahkan modal insan Palestin, namun usaha tersebut gagal mematahkan semangat para petugas perubatan.
Seorang graduan, Dr Ahmed Basil, berkata kejayaan memperoleh ijazah lanjutan di bangunan yang musnah membawa mesej jelas bahawa rakyat Palestin mencintai kehidupan serta kekal komited terhadap kemajuan sains dan kemanusiaan.
Majlis graduasi itu turut menampilkan kerusi kosong yang mempamerkan gambar petugas kesihatan yang terkorban sepanjang perang, sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang gugur ketika bertugas.
Kompleks Perubatan al-Shifa telah beberapa kali menjadi sasaran sejak perang bermula pada Oktober 2023. Hospital itu diceroboh pada November 2023, yang menyaksikan Dr Abu Salmiya ditahan selama tujuh bulan, dan sekali lagi pada Mac 2024 sehingga menyebabkan kemusnahan besar.
Penilaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada awal April 2024 mendapati hospital tersebut telah berubah menjadi apa yang disifatkan Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, sebagai “cangkerang kosong dengan kubur manusia”.
Walaupun sebahagian kecil hospital itu telah dibaik pulih, kebanyakannya masih terbiar dalam keadaan rosak teruk. Kemusnahan al-Shifa mencerminkan kempen sistematik yang lebih luas terhadap sistem kesihatan Gaza.
Daripada 36 hospital di wilayah itu, hanya 18 masih beroperasi itupun secara terhad setakat pertengahan Disember. Semua kecuali tiga hospital medan pula berfungsi di bawah kekangan serius, manakala lebih 18,500 pesakit kritikal, termasuk 4,000 kanak-kanak, masih memerlukan pemindahan perubatan yang sebahagian besarnya belum dapat dilaksanakan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back