NEWCASTLE – Pengendali Newcastle United, Eddie Howe, menegaskan keperluan untuk mempamerkan aksi lebih konsisten sekiranya pasukannya ingin menundukkan Manchester United dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Old Trafford awal pagi esok.
Howe berkata, The Magpies berada dalam tahap keyakinan tinggi susulan rekod cemerlang menentang The Red Devils, selepas memenangi lima daripada enam pertemuan terakhir dalam semua kejohanan.
Walaupun Newcastle sering dilabel tidak konsisten musim ini, Howe tetap optimis dengan perkembangan pasukannya.
“Secara peribadi, saya positif dengan prestasi pasukan. Mungkin ada yang melihat kami tidak konsisten, tetapi saya dapat melihat peningkatan yang jelas dan kami berada di landasan yang betul,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki jika Newcastle mahu melonjak sebagai pasukan yang benar-benar kompetitif di peringkat tertinggi.
Ketika ini, Newcastle menghuni tangga ke-11 liga dengan 23 mata, hanya tiga mata di belakang Manchester United yang berada di kedudukan ketujuh.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back