BANGKOK – Skuad muay thai negara mencipta kejutan besar di Sukan SEA Thailand 2025 apabila membawa pulang tiga pingat emas, sekali gus melepasi sasaran awal hanya satu emas yang ditetapkan.
Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Datuk Shahnaz Azmi menyifatkan kejayaan itu sebagai luar biasa, lebih-lebih lagi apabila atlet muda negara berjaya memecahkan dominasi tuan rumah tanpa kehadiran bintang utama seperti Johan Ghazali (Jojo), Ahmad Nor Iman Aliff Rakib dan Rifdean Masdor.
Menurut beliau, kejayaan ini membuktikan potensi besar atlet muda, termasuk yang berusia seawal 16 tahun, yang menunjukkan prestasi cemerlang di pentas serantau.
“Sasaran kita hanya satu emas, namun atlet muda telah melangkaui jangkaan dengan memenangi tiga emas. Ini pencapaian yang sangat membanggakan memandangkan muay thai bukan sukan teras di Malaysia,” katanya.
Shahnaz menegaskan kejayaan tersebut mengesahkan strategi pendedahan awal atlet muda sebagai langkah persediaan ke arah Sukan SEA 2027 di Malaysia berada pada hala tuju yang tepat.
Sebagai tanda penghargaan, beliau mengumumkan ganjaran tunai peribadi RM5,000 kepada setiap pemenang pingat emas, yang akan dikreditkan terus ke akaun atlet pada hari yang sama. Ganjaran itu melengkapkan insentif sedia ada termasuk bonus RM2,000 bagi kemenangan dominan atau ‘knockout’ (KO).
Mengulas prospek masa depan, Shahnaz optimis muay thai negara mampu meraih lebih banyak emas apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027, dengan jangkaan lebih 10 kategori dipertandingkan berbanding hanya lima kategori lelaki sebelum ini.
“Kejayaan ini juga diharapkan dapat membuka mata Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mempertimbangkan muay thai sebagai sukan sepenuh masa atau dimasukkan dalam program pembangunan bakat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Shahnaz menyifatkan kemenangan sensasi Yan Jia Chi (Angie) dalam acara wai kru – yang menewaskan juara dunia senior tuan rumah – sebagai satu keajaiban, sambil mengesahkan acara seni itu akan dipertandingkan di Malaysia pada masa akan datang.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back