Bangkok: Skuad basikal kejar-mengejar berpasukan lelaki negara menghadiahkan detik bersejarah apabila menyumbang pingat ke-200 buat kontinjen Malaysia — sasaran keramat yang ditetapkan lebih awal menjelang Sukan SEA 2025.
Gandingan Abdul Azim Aliyas, Mohd Jafri Muhammad Hafiq, Muhammad Yusri Shaari dan Newjoe Lau mempamerkan aksi cemerlang untuk menjuarai acara berkenaan, sekali gus memastikan lagu Negaraku berkumandang di Velodrom Hua Mark, Bangkok, semalam.
Pasukan tuan rumah Thailand yang dibarisi Nattakrit Kaeonoi, Thak Kaeonoi, Thurakit Boonratanathanakorn dan Putipong Chaloemsrimueang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas gagal menyaingi kepantasan skuad negara.
Muhammad Yusri menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil kerja berpasukan dan persiapan rapi, selain mengakui cabaran sengit diberikan oleh Thailand.
“Kami tahu Thailand bukan lawan yang mudah, tetapi pasukan berjaya mengatasi tekanan dan melaksanakan strategi sendiri. Alhamdulillah, kemenangan ini milik negara dan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Pingat emas tersebut melengkapkan hari pertama yang gemilang buat kem berbasikal trek negara selepas turut meraih emas dalam acara keirin menerusi Muhammad Ridwan Sahrom, selain kemenangan Nur Aisyah Mohamad Zubir dalam acara scratch wanita.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back