PARIS: FIFA mengumumkan pengenalan kategori tiket lebih murah bagi Piala Dunia 2026 susulan kritikan berterusan terhadap harga tiket kejohanan yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Dalam satu kenyataan, badan induk bola sepak dunia itu memaklumkan ia akan menawarkan “tiket tahap kemasukan penyokong” berharga AS$60 (RM245) bagi setiap perlawanan, termasuk final. Tiket berkenaan akan tersedia untuk kesemua 104 perlawanan kejohanan.
Menurut FIFA, inisiatif itu direka untuk menyokong penyokong yang mengembara bagi mengikuti pasukan kebangsaan masing-masing sepanjang kejohanan. Tiket AS$60 tersebut diperuntukkan khusus kepada penyokong pasukan yang layak dan merangkumi 10 peratus daripada kuota tiket bagi setiap persekutuan kebangsaan.
Namun begitu, kumpulan penyokong Football Supporters Europe (FSE) berpandangan langkah berkenaan masih tidak mencukupi. Minggu lalu, FSE menyifatkan harga tiket Piala Dunia 2026 sebagai “melampau” dan “astronomikal”.
“Walaupun kami mengalu-alukan pengiktirafan FIFA terhadap masalah yang timbul daripada pelan asalnya, semakan ini masih belum memadai,” menurut kenyataan FSE.
FSE sebelum ini mendedahkan harga tiket Piala Dunia 2026 hampir lima kali ganda lebih mahal berbanding edisi 2022 di Qatar. Menurut kumpulan itu, seorang penyokong yang mengikuti pasukannya dari perlawanan pertama hingga ke final perlu menanggung kos minimum sekitar AS$6,900 (RM28,190).
Mereka turut mengingatkan bahawa dokumen bidaan kejohanan yang dikeluarkan pada 2018 menjanjikan harga tiket bermula serendah AS$21 (RM85).
Dalam kenyataan terbaharu, FSE mendakwa pengumuman FIFA dibuat sebagai reaksi terhadap tekanan global. Mereka juga mengkritik dasar penjualan tiket yang disifatkan tergesa-gesa dan kurang rundingan, termasuk dengan persatuan ahli FIFA.
“Berdasarkan peruntukan yang diumumkan, hanya beberapa ratus penyokong bagi setiap perlawanan berpeluang mendapatkan tiket AS$60, manakala majoriti penyokong masih perlu membayar harga yang sangat tinggi,” kata FSE.
Kumpulan itu turut menegur ketiadaan peruntukan khusus untuk penyokong kurang upaya dan pengiring mereka.
Sementara itu, FIFA menegaskan persekutuan kebangsaan diminta memastikan tiket berharga AS$60 itu diberikan kepada penyokong setia yang mempunyai hubungan rapat dengan pasukan kebangsaan masing-masing.
FIFA juga memaklumkan penyokong yang membeli tiket perlawanan pusingan kalah mati tetapi pasukan mereka tersingkir lebih awal akan dikecualikan daripada bayaran pentadbiran semasa proses bayaran balik.
Menurut FIFA, pengumuman itu dibuat dalam situasi permintaan luar biasa di seluruh dunia, dengan lebih 20 juta permohonan tiket telah diterima setakat ini. Cabutan undi tiket bagi pusingan pertama jualan untuk semua kategori harga dijadualkan berlangsung pada Selasa, 13 Januari depan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back