BANGKOK, 16 Dis - Kontinjen Malaysia menutup tirai acara wushu di Sukan SEA 2025 di Thailand dengan penuh bergaya apabila meraih dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada hari terakhir pertandingan, Isnin.
Dalam enam acara akhir yang berlangsung di Bangunan Ratthaprasasanaphakdi, Malaysia berjaya membawa pulang lima pingat, sekali gus melengkapkan kempen wushu negara dengan pencapaian membanggakan.
Pingat emas pertama disumbangkan oleh Tan Cheong Min dalam acara Nandao wanita selepas mengumpul 29.263 mata, menewaskan wakil Vietnam, Dang Trang Phuong (29.112 mata). Atlet Singapura, Ong Xue Ling Kasandra, meraih pingat gangsa dengan 28.579 mata.
Dalam acara Jianshu wanita pula, Pang Pui Yee meraih pingat perak dengan catatan 29.139 mata. Pingat emas dimenangi oleh Geraldine Patricia dari Indonesia (29.266 mata), manakala atlet Singapura, Lee Yin Shuen, membawa pulang gangsa dengan 29.055 mata.
Kejayaan Malaysia diteruskan dalam acara Duilian bersenjata wanita apabila gandingan Pang Pui Yee, Tan Cheong Min dan Loh Yin Ting memenangi pingat emas dengan 9.730 mata, mengatasi Thailand (9.646) dan Myanmar (9.606).
Malaysia turut menambah dua pingat gangsa menerusi Ti Bryan Kai Jie dalam acara Nangun lelaki dengan 29.225 mata, serta pasukan Duilian tanpa senjata lelaki yang dibarisi Shin Peng, Muhammad Danish Aizad dan Wong Zhi Hong selepas mencatat 9.626 mata.
Secara keseluruhan, pencapaian ini menyaksikan Malaysia menamatkan saingan wushu Sukan SEA 2025 dengan keputusan memberangsangkan, sekali gus mengukuhkan reputasi negara sebagai antara kuasa utama dalam sukan tersebut di rantau Asia Tenggara.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back