BANGKOK - Di tengah kemeriahan upacara pembukaan Sukan SEA Thailand 2025 malam tadi, kontinjen Malaysia hadir dengan misi besar: memburu 200 pingat tanpa mengira warna dalam usaha memulihkan reputasi negara pada edisi ke-33 temasya itu.
Beberapa persatuan sukan kebangsaan tampil yakin dengan sasaran tinggi, bertekad memastikan lagu Negaraku berkumandang sebanyak mungkin sepanjang kejohanan yang berlangsung dari 11 hingga 21 Disember ini.
Antara pasukan terawal menunjukkan taring ialah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang sudah mengesahkan sekurang-kurangnya pingat gangsa bagi berpasukan wanita, sambil menantikan keputusan sama ada skuad lelaki mampu membawa pulang emas atau perak.
Dalam acara lain, skuasy, silat dan sepak takraw masing-masing menyasarkan dua pingat emas hasil persiapan intensif sejak awal tahun.
Sementara itu, skuad hoki negara turut mencuri perhatian selepas pasukan hoki 5 sebelah (5s) lelaki dan wanita mara ke separuh akhir dengan rekod kemenangan bersih dalam pusingan round robin.
Kontinjen Malaysia jelas mahu melupakan memori pahit Sukan SEA 2023 di Kemboja, apabila hanya menamatkan kempen di tangga ketujuh dengan 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa, rekod terburuk dalam sejarah penyertaan negara.
Berbanding pencapaian cemerlang ketika menjadi tuan rumah pada 2017 dengan 145 emas dan 323 pingat keseluruhan, temasya kali ini dilihat sebagai platform penting sebelum Malaysia kembali menjadi tuan rumah pada 2027.
“Atlet Bukan Sekadar Bertanding” – Hannah Yeoh
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, kehadiran kontinjen terbesar negara merangkumi 47 peratus atlet muda dan acara berpasukan, adalah pelaburan jangka panjang yang mesti diterjemah dengan aksi penuh semangat.
“Jika kita hanya memilih atlet berdasarkan potensi pingat jangka pendek, kita akan menafikan peluang pembangunan atlet muda yang bakal menjadi harapan negara pada masa depan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap pingat membawa nilai peribadi buat atlet, sekali gus menuntut mereka mencipta sejarah tersendiri di Bangkok dan Chonburi.
“Kita sudah mencipta sejarah dengan menghantar kontinjen terbesar. Selepas ini, atlet pula harus menulis sejarah mereka sendiri. Apabila Jalur Gemilang berkibar, biarlah dunia tahu anda membawa semangat rakyat dan harga diri Malaysia. Saya mahu lagu Negaraku berkumandang sebanyak mungkin di Thailand,” tegasnya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back