BANGKOK, 9 Dis. – Skuad badminton lelaki negara melangkah ke perlawanan akhir acara berpasukan Sukan SEA 2025 setelah menewaskan tuan rumah, Thailand, 3–1 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Gimnasium Thammasat Rangsit, hari ini.
Kejayaan tersebut membuka peluang Malaysia untuk menamatkan penantian selama dua dekad bagi merangkul pingat emas kategori berpasukan lelaki. Kali terakhir skuad negara meraih kejayaan itu adalah pada Sukan SEA 2005 di Filipina.
Pada aksi final yang dijadual berlangsung Rabu ini, Malaysia bakal berdepan musuh tradisi serta juara bertahan, Indonesia, yang turut mencatat kemenangan 3–1 ke atas Singapura dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Dalam pertembungan hari ini, perseorangan pertama negara, Leong Jun Hao, tewas kepada pemain sensasi Thailand, Kunlavut Vitidsarn, dengan keputusan 15-21, 15-21 dalam tempoh 56 minit.
Kedudukan kembali terikat apabila beregu utama negara yang menghuni ranking kedua dunia, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, menundukkan pasangan Supak Jomkoh–Peeratchai Sukphun, 21-18, 21-19 dalam pertemuan pertama kedua-dua beregu.
Perseorangan kedua Malaysia, Justin Hoh, kemudian mempamerkan aksi meyakinkan dengan menewaskan Panitchaphon Teeraratsakul, 21-10, 21-17. Kemenangan ini merupakan rekod kemenangan kedua pemain ranking ke-38 dunia itu ke atas lawan sama.
Skuad negara akhirnya mengesahkan kemaraan ke final menerusi beregu kedua, Man Wei Chong–Tee Kai Wun, yang menang dalam pertarungan tiga set ke atas gandingan Dechapol Puavannukroh–Pakkapon Teeraratsakul, 21-14, 18-21, 21-17.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back