LONDON: Penyerang Manchester City, Erling Haaland menzahirkan rasa bangga selepas muncul sebagai pemain terpantas mencapai 100 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika membantu pasukannya mencatat kemenangan 5-4 ke atas Fulham, awal pagi tadi.
Jaringan tepat Haaland pada babak pertama di Craven Cottage menyaksikan beliau mencapai angka bersejarah itu hanya dalam 111 penampilan liga bersama City. Pencapaian tersebut sekali gus memadam rekod legenda Newcastle United dan Blackburn Rovers, Alan Shearer yang memerlukan 124 perlawanan untuk mencapai jumlah sama.
“Ia sesuatu yang besar dan saya amat berbangga. Menyertai kelab 100 gol merupakan pencapaian istimewa dan saya sangat gembira,” katanya.
Haaland sebelum ini melalui tiga perlawanan tanpa jaringan menentang Newcastle, Bayer Leverkusen dan Leeds United, namun kembali meledak dalam aksi penuh dramatik sembilan gol itu.
Daripada keseluruhan 100 golnya, sebanyak 71 dijaringkan menerusi kaki kiri dan 17 menerusi tandukan.
“Jika anda seorang penyerang Manchester City, anda perlu menghasilkan jumlah jaringan yang tinggi. Itu tugas saya. Kritikan adalah perkara biasa sekiranya saya gagal menjaringkan gol. Saya perlu sentiasa memberikan yang terbaik,” jelasnya.
Gol pembukaan Haaland pada minit ke-17 menjadikan catatan peribadinya meningkat kepada 15 gol liga musim ini dan 20 gol dalam semua pertandingan. Lorongan kemas Jeremy Doku berjaya dituntaskan Haaland dengan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Fulham, Bernd Leno.
“Saya percaya penonton di rumah pasti terhibur. Perlawanan penuh aksi dengan sembilan gol. Kami gembira meraih kemenangan, namun ia bukanlah persembahan terbaik kami,” ujar beliau lagi.
Dengan kemenangan itu, City kini merapatkan jurang kepada dua mata di belakang pendahulu liga, Arsenal. Namun Haaland menegaskan pasukannya tidak boleh terlalu memikirkan kedudukan pencabar.
“Arsenal turut menang di sini. Fulham sebuah pasukan yang berkualiti. Kami perlu lebih fokus kepada permainan sendiri. Ada banyak yang perlu diperbaiki dan itu akan kami lakukan,” katanya.
Meskipun mencipta rekod baharu sebagai penjaring terpantas 100 gol EPL, Haaland masih jauh daripada rekod sepanjang zaman milik Shearer yang mengumpul 260 gol dalam liga.
“Saya sedar akan rekod tersebut, tetapi bukan keutamaan saya ketika ini,” tambahnya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back