KUALA LUMPUR - Ikon filem Melayu, Erra Fazira, menyatakan rasa syukur dan berharap perkahwinannya bersama pilihan hati, Ezwan Zain, pada 12 Disember ini membawa kebahagiaan serta keberkatan buat mereka berdua.
Erra, 51, yang sudah lebih sedekad bergelar ibu tunggal, berkata keputusan untuk berkahwin dibuat setelah mereka saling mengenali dan melalui pelbagai ujian dalam hubungan.
“Saya percaya ini yang terbaik dan termanis untuk kami. Semua orang mahu lihat saya bahagia dan saya pun mengharapkan perkara yang sama. Perasaan saya bercampur baur terharu, gembira, semuanya,” katanya ketika ditemui pada pelancaran muzik video Cinta Abadi 2025 di sini, petang tadi.
Menurutnya, keyakinan untuk kembali berumah tangga bukan sesuatu yang mudah setelah sekian lama hidup berdikari.
“Kalau menunggu sampai betul-betul yakin, memang banyak keraguan timbul. Kami masing-masing sudah biasa hidup sendiri, tetapi sebagai manusia kita tetap perlukan teman. Jadi, biarlah semuanya dilakukan dengan cara yang betul dan diberkati,” katanya.
Erra juga menegaskan keputusan ini bukan kerana desakan mencari pasangan, tetapi lebih kepada keinginan berkongsi hidup pada masa depan.
“Anak-anak pun semakin besar. Bila usia meningkat, kita perlukan seseorang untuk menemani dan menjadi tempat berbicara. Dari situlah datangnya kesepakatan kami,” ujarnya.
Pasangan ini mencapai kata sepakat selepas mempertemukan kedua-dua keluarga lebih kurang enam minggu lalu.
“Kami tak mahu libatkan keluarga terlalu awal. Bila semuanya jelas dan keluarga selesa, barulah kami serius. Keputusan ini datang secara matang,” tambahnya.
Dalam sesi media itu, Erra tidak dapat menahan emosi sewaktu mengumumkan tarikh pernikahannya. Beliau turut berkongsi bahawa anak perempuannya, Engku Aleesya, menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.
Majlis pernikahan dan dua sesi resepsi akan diadakan secara sederhana pada 13 dan 27 Disember. Acara akad nikah pasangan ini juga bakal disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Kasi Onz.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back