BANGKOK - Bandar Hat Yai kini memasuki fasa pemulihan dan pembersihan menyeluruh selepas sembilan hari dilanda banjir besar yang menjejaskan sebahagian besar penduduknya.
Menurut pihak berkuasa, kira-kira 80 peratus penduduk telah kembali ke kediaman masing-masing untuk menilai tahap kerosakan. Selebihnya masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara yang disediakan oleh kerajaan wilayah.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengarahkan semua barangan rosak serta sisa banjir dibersihkan segera. Beliau mensasarkan penduduk dapat kembali ke rumah dalam tempoh tujuh hari, manakala usaha pembersihan di seluruh Hat Yai disiapkan dalam tempoh 14 hari.
Tinjauan di pusat pemindahan di Universiti Prince of Songkla (PSU) mendapati lebih 10,000 mangsa pernah mencari perlindungan di situ. Walau bagaimanapun, kebanyakan mangsa telah mula pulang ke rumah masing-masing, manakala baki penduduk akan dipindahkan ke lokasi baharu di Ban Phru – Wat Thep Chum Num.
Masih terdapat mangsa yang menyuarakan kebimbangan berhubung keadaan tempat tinggal mereka, kerana banyak rumah yang belum dibersihkan sepenuhnya, manakala sebahagian lagi didapati musnah sama sekali.
Seorang warga emas berusia 79 tahun meluahkan rasa sedih apabila kediamannya hanya tinggal rangka akibat bencana tersebut.
“Saya tidak tahu bagaimana hendak meneruskan hidup. Tahun ini paling teruk… Rumah saya sudah tiada, hanya tinggal struktur sahaja,” katanya dalam nada sebak.
Hat Yai merupakan daerah paling teruk terjejas dengan lebih 226,000 isi rumah dan 406,823 penduduk terlibat.
Menurut Pejabat Wilayah Songkhla, lebih 176,000 akaun elektrik terjejas namun lebih 90 peratus berjaya dipulihkan. Bekalan air bersih turut menunjukkan perkembangan positif dengan 60 peratus kawasan sudah menerima semula bekalan, selain agihan air berterusan di kawasan yang masih terputus.
Rangkaian telekomunikasi pula telah pulih sehingga 85 peratus. Selain itu, sektor pertanian mengalami kerosakan besar melibatkan puluhan ribu tanaman, manakala lebih 8,000 kenderaan ditemui tenggelam. Pihak berkuasa kini sedang menjalankan tinjauan untuk tujuan bantuan dan pampasan.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back