MANCHESTER – Manchester United gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris apabila tewas 0-1 kepada Everton dalam perlawanan di Old Trafford awal pagi semalam.
Lebih mengecewakan, The Red Devils tidak berupaya meraih tiga mata walaupun lawan beraksi dengan 10 pemain seawal minit ke-13 selepas Idrissa Gueye dilayangkan kad merah kerana menampar rakan sepasukannya, Michael Keane.
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, melahirkan rasa kecewa terhadap prestasi anak buahnya dan menyuarakan kebimbangan sekiranya pasukan itu kembali mengulangi prestasi hambar musim lalu yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di tempat ke-15 serta gagal layak ke pentas Eropah.
“Secara jujur, saya berasa takut untuk kembali kepada situasi seperti musim lalu. Itulah kebimbangan terbesar saya. Semua pihak perlu bekerja lebih keras. Para pemain telah berusaha, namun buat masa ini ia masih belum mencukupi. Kami perlu memperbaiki mutu persembahan,” katanya.
Amorim yang kini merekodkan kekalahan ke-20 daripada 55 perlawanan bersama United turut menyatakan bahawa kegagalan pemain membuat keputusan tepat di atas padang menjadi faktor utama kekalahan tersebut.
“Kami seperti tidak tahu cara untuk mengendalikan permainan menentang pasukan yang bermain dengan 10 orang. Ia amat mengecewakan. Everton layak menang pada perlawanan ini, namun kami turut memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Malangnya, penyudah kurang berkualiti dan keputusan yang diambil juga tidak tepat,” ujarnya.
Kekalahan itu menamatkan rekod tanpa kalah United dalam lima perlawanan sebelum ini; kali terakhir mereka berdepan kekalahan ialah ketika tewas 1-3 kepada Brentford pada September lalu.
Amorim turut mengakui bahawa pasukannya gagal memanfaatkan keputusan perlawanan lain yang lebih memihak kepada United apabila beberapa pasukan utama seperti Liverpool dan Manchester City turut tewas.
“Kami mensia-siakan peluang berharga kerana keputusan lain memberi kedudukan yang lebih selesa kepada United. Namun, sejak awal permainan lagi saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena,” katanya lagi.
Selepas 12 perlawanan, Manchester United kini berada di tangga ke-10 dengan mengutip 18 mata, berkongsi mata dengan Everton di tempat ke-11 dan juara bertahan, Liverpool yang kini berada di kedudukan ke-12.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back