KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) – Seramai 20,146 mangsa banjir ditempatkan di 119 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan negeri, dengan Pahang menjadi negeri terbaharu dilanda banjir pagi ini.
Di SELANGOR, jumlah mangsa meningkat kepada 2,697 orang daripada 740 keluarga berbanding 1,732 orang daripada 474 keluarga malam tadi, manakala PPS bertambah kepada 19 berbanding 15 sebelum ini.
Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS terbaharu dibuka di Shah Alam dan Klang, termasuk Sekolah Rendah Agama Seksyen 16, Dewan MBSA Jati Kampung Sungai Kandis, Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang dan Dewan Kemuning Utama.
Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub memaklumkan sebuah PPS dibuka di daerah Raub dan 23 mangsa daripada 10 keluarga berlindung di PPS Balai Raya Kampung Ulu Sungai yang dibuka 11.30 malam tadi.
Menurut Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Kuala Mendang, Lipis menunjukkan trend meningkat dengan merekodkan 85.35 meter (m) melebihi tahap bahaya 84.5m, manakala Sungai Telemong, Bentong pula menunjukkan trend penurunan dengan 98.19m melebihi tahap waspada 98.1m.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir semakin meningkat iaitu 9,959 orang dari 3,643 keluarga pagi ini berbanding 9,882 malam tadi dengan 40 PPS dibuka di empat jajahan terjejas iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.
Infopublic Banjir JPS memaklumkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan 8.55m setakat 8 pagi ini, melebihi tahap amaran 0.55m manakala bacaan paras air di stesen Rantau Panjang menunjukkan peningkatan berterusan susulan hujan di kawasan lembangan Sungai Golok sejak malam tadi.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir menurun kepada 97 orang daripada 37 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 131 orang daripada 54 keluarga malam tadi.
Berdasarkan laman sesawang InfoBencana JKM, mangsa terdiri daripada 52 lelaki dan 45 perempuan itu berlindung di sebuah PPS iaitu SK Kuala Besut, Besut sementara laporan di laman web publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan paras air sungai di 51 stesen seluruh negeri dalam keadaan normal.
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 1,632 orang daripada 525 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,088 orang daripada 344 keluarga, malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dari daerah Kubang Pasu dan Kulim itu ditempatkan di 12 PPS.
Laman web rasmi Public Infobanjir memaklumkan empat sungai di Kedah melebihi tahap bahaya iaitu Sungai Laka di Kubang Pasu 23.26 meter (m), Sungai Bata di Kubang Pasu (10.76m), Sungai Perik di Padang Terap (14.61m) dan Sungai Titi Kerbau di Pendang (4.12m).
Di PERLIS, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan peningkatan menjadikan 2,694 orang daripada 795 keluarga setakat pagi ini berbanding 2,017 orang daripada 594 keluarga pada malam tadi.
Berdasarkan data Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, mangsa banjir itu berada di 13 PPS bagi kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar.
Di PULAU PINANG, bilangan mangsa banjir menurun sedikit kepada 366 orang daripada 96 keluarga di empat PPS pagi ini berbanding 385 orang melibatkan 103 keluarga malam tadi namun cuaca hampir di seluruh Pulau Pinang mendung pagi ini.
Berdasarkan kemas kini di laman sesawang lnfobencana JKM setakat 7.30 pagi ini, PPS SK Lahar Yooi di daerah Seberang Perai Utara merekodkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 174 orang daripada 50 keluarga.
Sebanyak 108 orang daripada 28 keluarga pula berada di Pusat Pemindahan Desa Puri, 34 orang daripada tujuh keluarga di PPS SK Pengkalan Jaya manakala satu-satunya PPS di daerah Seberang Perai Tengah iaitu SK Permatang Pasir masih kekal dengan 50 mangsa daripada 11 keluarga.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir terus meningkat pagi ini kepada 2,678 orang melibatkan 845 keluarga berbanding 1,786 orang daripada 554 keluarga malam tadi, berlindung di 29 PPS di daerah Manjung, Perak Tengah, Larut Matang dan Selama (LMS), Hilir Perak, Bagan Datuk dan Muallim.
Sekretariat JPBN Perak memaklumkan Manjung terus menjadi daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa seramai 1,310 orang daripada 401 keluarga di 13 PPS diikuti Perak Tengah menempatkan 770 mangsa melibatkan 256 keluarga di tujuh PPS dan daerah Bagan Datuk seramai 242 mangsa terdiri daripada 82 keluarga di tiga PPS.
Di daerah Hilir Perak, seramai 198 mangsa melibatkan 58 keluarga ditempatkan di dua PPS, Muallim merekodkan 92 mangsa dengan 28 keluarga di dua PPS selain LMS mencatatkan 66 mangsa dengan 20 keluarga berlindung di dua PPS.
Dua sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Bidor (Changkat Jong) yang merekodkan bacaan 4.59m berbanding paras normal sekitar 2m manakala Sungai Slim (Slim River) mencatat 27.82m berbanding paras normal 23.50m.
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back