Masa depan kapten Manchester United, Bruno Fernandes, semakin menjadi tanda tanya selepas laporan mendakwa kelab itu bersedia melakukan rombakan besar di bahagian tengah padang.
Menurut laporan, pihak pengurusan United sedang menilai pelaburan sekitar £250 juta (RM1.37 bilion) untuk membawa masuk tiga pemain tengah baharu, sejajar dengan polisi baharu kelab selepas pengambilalihan oleh INEOS.
Polisi tersebut difahamkan menekankan penstrukturan semula kewangan dengan mengurangkan kebergantungan kepada pemain berusia dan bergaji tinggi, sekali gus menjadikan Fernandes antara nama yang dipertimbangkan dalam proses perubahan itu.
Di bawah pengurusan Ruben Amorim, United mahu membentuk pasukan yang lebih muda, bertenaga dan berpotensi jangka panjang berbeza dengan pendekatan terdahulu yang sering membawa masuk pemain berprofil tinggi dengan gaji lumayan.
United turut dilaporkan mahu melepaskan beberapa pemain senior dengan kontrak besar, termasuk Casemiro, yang dijangka tidak ditawarkan lanjutan selepas kontraknya tamat hujung musim ini.
Sumber dalaman kelab juga mendedahkan bahawa unit pemantau bakat United telah mengenal pasti tiga sasaran utama di posisi tengah:
- Adam Wharton (Crystal Palace)
- Carlos Baleba (Brighton)
- Elliot Anderson (Nottingham Forest)
Ketiga-tiga pemain ini dilihat mampu mengukuhkan skuad dalam jangka panjang, namun perpindahan mereka memerlukan dana besar tanpa menawarkan pakej gaji yang tinggi.
Fernandes, yang kini berusia 31 tahun dan terikat kontrak sehingga 2027, merupakan antara pemain bergaji tinggi di Old Trafford. Situasi itu membuatkan United terbuka untuk mempertimbangkan penjualannya sekiranya menerima tawaran yang sesuai.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back